Tiada keputusan unilateral ke atas Selat Melaka, kata Tok Mat

Tiada keputusan unilateral ke atas Selat Melaka, kata Tok Mat

Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan menekankan pendekatan berasaskan konsensus Asean dalam mengekalkan keselamatan Selat Melaka.

MOHAMAD HASAN
Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan berkata Malaysia bersama Singapura, Indonesia dan Thailand berkongsi ‘persefahaman sangat kukuh’ serta menjalankan rondaan bersama di Selat Melaka.
KUALA LUMPUR:
Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan, berkata tiada keputusan unilateral boleh dibuat berhubung Selat Melaka, sambil menekankan pendekatan berasaskan konsensus Asean dalam mengekalkan keselamatan maritim di laluan air penting itu.

Bercakap sebagai ahli panel jemputan tambahan di Forum Better Nation (BN) ke-10 mengenai Kesan Konflik AS-Iran terhadap Malaysia, beliau berkata, Malaysia bersama Singapura, Indonesia dan Thailand berkongsi “persefahaman sangat kukuh” serta menjalankan rondaan bersama bagi memastikan laluan selamat di selat itu, yang juga antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia.

“Apa sahaja yang ingin dilakukan di Selat Melaka mesti melibatkan kebersamaan keempat-empat negara tersebut. Itu adalah persefahaman kita – tidak boleh dibuat secara bersendirian.

“Ini kerana, ketika kita memeterai perjanjian bersama untuk rondaan dan keselamatan Selat Melaka, itulah asasnya – tiada keputusan unilateral.

“Asean semuanya berasaskan konsensus. Malah, di peringkat jawatankuasa kecil sekalipun, semuanya berdasarkan konsensus,” tegasnya yang lebih dikenali sebagai Tok Mat.

Kenyataannya menyusul ketidaktentuan berpanjangan dalam perkembangan geopolitik di Asia Barat dan kesannya yang boleh meningkatkan risiko laluan sempit maritim strategik lain, termasuk di Selat Melaka.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia akan terus memperkasakan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) serta mengutamakan kepusatan Asean dalam mengemudi landskap global semakin kompleks.

Malaysia mesti mengamalkan “berkecuali secara aktif” dan mengelak terperangkap dalam permainan politik global, katanya.

“Kita adalah negara perdagangan, ekonomi kita adalah ekonomi terbuka dan kita berdagang dengan semua orang. Kita tidak boleh dilihat cenderung kepada sesiapa. Jika gagal, ekonomi kita akan terganggu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.