Malaysia mesti miliki sistem keselamatan siber sendiri, kata CEO Sapura

Malaysia mesti miliki sistem keselamatan siber sendiri, kata CEO Sapura

Shahril Shamsuddin berkata pergantungan teknologi asing mendedahkan infrastruktur kritikal kepada risiko besar terutama semasa berlaku gangguan geopolitik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Holdings Sdn Bhd, Shahril Shamsuddin, berkata Malaysia tidak kekurangan bakat membangunkan keupayaan siber sendiri.
KUALA LUMPUR:
Malaysia perlu membangunkan sistem keselamatan siber sendiri bagi mengurangkan risiko gangguan geopolitik, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Holdings Sdn Bhd, Shahril Shamsuddin.

Beliau berkata, pergantungan kepada teknologi milik asing mampu menyebabkan terdedahnya infrastruktur kritikal, sekiranya akses kepada sistem tersebut disekat.

“Dalam konteks Malaysia, saya rasa kita perlu memiliki teknologi itu. Kita mesti berupaya membangunkan teknologi berkenaan secara berterusan dan mempunyai kawalan ke atasnya.

“Jika negara tertentu mengenakan embargo terhadap peralatan atau perisian, akhirnya mungkin kehilangan kedaulatan ke atas data kita atau pun keupayaan mempertahankannya,” katanya kepada FMT dalam temu bual di sela-sela pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec) 2026.

Beliau berkata, kedaulatan digital bermaksud keupayaan membangun, menyenggara, dan mengurus teknologi secara tempatan, selain mengekalkan pengawasan terhadap lokasi data disimpan dan diproses.

Shahril berkata, isu berkenaan menjadi semakin mendesak mengambil kira teknologi memainkan peranan lebih besar dalam pertempuran.

“Teknologi telah menjadi pengganda kekuatan dalam kedua-dua aspek serangan dan pertahanan. Malah, sebuah negara kecil pun boleh menjadi sangat efektif jika ia mampu menguasai teknologinya sendiri,” katanya.

Kenyataannya menyusul ketika konflik dewasa ini menyerlahkan bagaimana peperangan moden semakin dipacu teknologi merentasi pelbagai domain, daripada operasi siber kepada penggunaan dron secara besar-besaran, berlatarbelakangkan perpecahan geopolitik yang semakin meningkat dan ketidaktentuan akses kepada teknologi kritikal.

PBS melaporkan bulan lalu, bahawa penggodam yang dikaitkan dengan Iran telah meningkatkan aktiviti semasa konflik Asia Barat dan menyasarkan kepentingan AS, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai limpahan serangan siber melangkaui medan tempur sedia ada.

Di Ukraine, Associated Press melaporkan serangan berulang-kali dron Rusia ke atas kawasan awam serta serangan balas terhadap kilang dronnya sendiri.

Perkembangan ini memperincikan mengenai peperangan menjadi medan pembuktian bagi pertempuran dron berskala besar dan contoh bagaimana sistem digital serta fizikal boleh menerima tekanan secara serentak.

Malaysia tidak terkecuali daripada peningkatan meluas ancaman siber. The Star melaporkan pada Jun, bahawa Malaysia mencatatkan 195 insiden pelanggaran data pada suku pertama 2025, meningkat daripada 151 insiden pada suku keempat 2024.

Berlatarbelakangkan situasi tersebut, Sapura mempamerkan keupayaan sibernya di DSA Natsec 2026 melalui Velum Labs, cabang keselamatan siber dan perisikannya.

Menerusi Velum Labs, Sapura mengetengahkan ‘V-Dark’, sebuah platform perisikan siber yang memantau aktiviti ancaman dan menyediakan perisikan disahkan serta boleh diambil tindakan, manakala ‘V-Attack’, perkhidmatan emulasi serangan siber yang mensimulasikan serangan dunia nyata untuk mengenal pasti titik lemah serta memperkukuh pertahanan.

Shahril berkata, penekanan mesti diberikan kepada tindakan awal berbanding menunggu pencerobohan berlaku, selain menyatakan pertahanan siber kini semakin beralih daripada respons reaktif kepada pengesanan dan ramalan awal.

Beliau juga berkata, Malaysia mempunyai bakat diperlukan untuk membina keupayaan sedemikian dalam negara, dengan maklum ramai pembangun terdiri daripada graduan universiti tempatan dan pasukan pembangun terdiri golongan muda.

“Kita tidak kekurangan bakat. Persoalannya adalah sama ada kita mampu memberikan cabaran kepada mereka,” katanya sambil menambah purata umur pasukan tersebut sekitar 28 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.