Himpunan anti-Azam desak perubahan menyeluruh

Himpunan anti-Azam desak perubahan menyeluruh

Ahli Parlimen Lee Chean Chung mahukan perubahan yang boleh memupuk keyakinan.

Suasana himpunan berkaitan Azam Baki di ibu negara.
KUALA LUMPUR:
Pemimpin-pemimpin politik menggesa perubahan menyeluruh berhubung Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketika berucap pada perhimpunan berkaitan ketua pesuruhjayanya, Azam Baki, petang tadi.

Meskipun kerajaan telah mengumumkan pengganti Azam, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, berkata perubahan sistem perlu bagi memupuk keyakinan.

“Selagi tak tukar sistem, apa yang dikatakan oleh individu tak boleh diterima (diragui). Kita mahukan perubahan menyeluruh,” katanya kepada peserta himpunan petang tadi.

Peserta mahu berarak dari Sogo ke Dataran Merdeka, namun himpunan berakhir di antara Jalan Raja dan Jalan Raja dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Selain Lee, turut kelihatan Ahli Parlimen Rafizi Ramli (PKR) dan Khoo Poay Tiong (DAP); serta Naib Ketua Pemuda MCA Tan Yang Pang dan ahli jawatankuasa sayap, Chai Jie Yang.

Turut serta Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi, dan Exco Pemuda Bersatu Na’im Brundage; dan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan, dan Pengerusi Urimai P Ramasamy.

Amira dalam ucapannya mengulangi desakan agar SPRM diletakkan bawah Parlimen, agar bebas daripada mana-mana kuasa.

Speaker terakhir, Rafizi mengulangi tuntutan agar pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM dibawa melalui Parlimen. “Kita janji kita akan terus tuntut dan sokong,” tegasnya.

Perhimpunan ini merupakan tunjuk perasaan yang kedua diadakan tahun ini, susulan kontroversi mengenai pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam, serta dakwaan mengenai manipulasi pengambilalihan korporat yang dikaitkan dengan SPRM

Beberapa speaker menyeru penubuhan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat dakwaan-dakwaan tersebut.

“Kita janji bahawa selagi tidak ada siasatan bebas, kita akan terus tuntut sampai ada RCI,” kata Rafizi.

Himpunan berakhir pada 6 petang tadi secara aman. Peserta bersurai susulan perbincangan antara Rafizi dan polis, yang menyuarakan kebimbangan apabila mercun dibakar sebelum perarakan.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelantikan bekas hakim Mahkamah Tinggi, Abdul Halim Aman, berkuat kuasa 13 Mei.

Azam berkhidmat sebagai ketua pesuruhjaya sejak 9 Mac 2020, dan memegang jawatan tersebut melebihi usia persaraan melalui tiga pelanjutan kontrak setiap satu selama setahun, pada 2023, 2024 dan 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.