Jurang dasar cabaran terbesar keselamatan siber Malaysia, kata CEO Sapura

Jurang dasar cabaran terbesar keselamatan siber Malaysia, kata CEO Sapura

Shahril Shamsuddin berkata penyelarasan lebih kukuh diperlukan untuk melindungi sistem teras dan rantaian bekalan lebih luas.

SHAMSUL_SHAMSUDDIN
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Holdings Sdn Bhd Shahril Shamsuddin berkata membina ekosistem siber tempatan boleh menghasilkan limpahan ekonomi dan mengukuhkan rantaian bekalan.
KUALA LUMPUR:
Cabaran terbesar keselamatan siber Malaysia lebih terletak pada penyelarasan dan dasar berbanding teknologi itu sendiri, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Holdings Sdn Bhd, Shahril Shamsuddin.

Menurutnya, pendekatan menyeluruh diperlukan, dengan sebuah organisasi pusat ditugaskan untuk menyelaras operasi teras dan disokong rangkaian lebih luas vendor, kontraktor serta rakan kongsi.

“Perkara paling penting ialah dasar, bukan sahaja di peringkat kebangsaan, tetapi di setiap peringkat.

“Untuk mewujudkan persekitaran siber selamat, organisasi utama dan rantaian bekalannya perlu berada dalam keadaan selamat serta terjamin dari segi siber kerana kita semua saling hubung dalam satu cara atau lain,” katanya kepada FMT di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2026.

Beliau berkata, memfokuskan sistem individu tanpa menangani isu penyelarasan lebih luas boleh menyebabkan kelemahan dalam rangkaian saling hubung.

“Jika kita tidak mempunyai strategi padu untuk masa depan, kita tidak akan dapat mencapai tahap di mana kita benar-benar selamat dari segi siber.

“Tidak cukup hanya dengan mengembangkan satu bahagian. Anda memerlukan gambaran menyeluruh keseluruhan infrastruktur negara, termasuk rantaian bekalan.”

Jelasnya, cabaran itu bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam masa singkat kerana daya tahan siber membabitkan sistem, tingkah laku dan dasar mampu fungsi bersama.

Kenyataannya dibuat ketika Putrajaya terus memperketatkan rangka kerja keselamatan siber melalui Akta Keselamatan Siber 2024, yang mula berkuat kuasa 26 Ogos 2024.

Baru-baru ini, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata Malaysia perlu segera menangani jurang dalam dasar, alatan, bakat dan penguatkuasaan rentas sempadan bagi memperkukuhkan daya tahan siber.

Pengkritik berpendapat, walaupun Akta Keselamatan Siber 2024 merupakan langkah positif, ia masih tidak cukup untuk menangani dimensi perundangan dan strategik lebih luas peperangan siber.

Shahril berkata, usaha membina keupayaan tempatan tidak patut terhad kepada mewujudkan penyedia tunggal sahaja, tetapi perlu merangkumi pertumbuhan ekosistem domestik lebih luas dalam bidang ini, termasuk syarikat cabang dan rakan kongsi yang boleh memperkukuh saingan serta mendorong inovasi.

Katanya, Sapura ingin membantu mengukuhkan ekosistem itu dengan bertindak sebagai pembina platform utama, manakala vendor tempatan lain dan firma pakar membangunkan produk sserta perkhidmatan di sekelilingnya.

“Jika kami ialah kapal induk, vendor lain boleh beroperasi di sekeliling kami di bawah strategi sama dan menggunakan teknologi serupa, sekali gus membantu menjana limpahan ekonomi lebih luas.

“Dengan (membangun dan membina teknologi secara tempatan), kita dapat mengurangkan aliran keluar ke negara lain.”

Jelasnya, ini akan menjadikan industri lebih kukuh dengan menyebarkan inovasi merentasi pemain khusus berbeza sambil mengukuhkan rantaian bekalan tempatan.

“Kami membina platform dan kemudian meluaskannya melalui rakan kongsi, yang menjadi sebahagian rantaian bekalan. Ini seterusnya menjadikan keseluruhan sistem lebih kukuh.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.