Tiada persetujuan halang mansuh Akta Hasutan, kata Gobind

Tiada persetujuan halang mansuh Akta Hasutan, kata Gobind

Pengerusi DAP berkata walaupun parti mahu meminda undang-undang kontroversi itu, realiti pentadbiran berbilang parti memerlukan kesepakatan.

Gobind Singh Deo
Pengerusi DAP Gobind Singh Deo mengakui langkah melakukan reformasi mengambil masa terutama dalam kerajaan terdiri ‘pihak berlainan’.
PUCHONG:
DAP berkata kegagalan mendapatkan persetujuan dalam kerajaan menjadi faktor utama pemansuhan Akta Hasutan 1948 belum dapat dilaksanakan ketika ini.

Pengerusi Gobind Singh Deo, berkata walaupun DAP berpegang teguh kepada agenda reformasi termasuk meminda undang-undang kontroversi itu, realiti pentadbiran berbilang parti memerlukan kesepakatan sebelum sebarang keputusan boleh dibuat.

“Tetapi, oleh kerana tidak dapat persetujuan-persetujuan yang tertentu, maka di situ kita tidak dapat laksanakan (pamansuhan Akta Hasutan 1948) buat masa ini.

“Apa yang penting adalah untuk semua faham kita dalam proses mengambil tindakan supaya dapat membawa pembaharuan-pembaharuan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal DAP Kinrara di Pusat Bandar Puchong.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Agung Loke Siew Fook, Timbalan Pengerusi DAP Teo Nie Ching, dan Pengerusi DAP Selangor Ng Sze Han.

Turut hadir, Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Gobind menegaskan DAP tidak pernah berganjak daripada pendiriannya untuk melihat Akta Hasutan dimansuhkan.

Beliau berkata, parti itu akan terus konsisten membawa agenda reformasi secara berperingkat, termasuk memperkukuh kerangka perundangan, ekonomi, dan perkhidmatan awam demi kepentingan rakyat.

“Apabila kita sebut berkenaan dengan reformasi, kita perlu ingat bahawa ia mengambil masa. Ini penting kerana kita sekarang di dalam satu kerajaan yang terdiri daripada pihak berlainan.

“Kita perlu mendapat persetujuan sebelum kita dapat bergerak ke hadapan dan ini adalah satu perkara yang saya minta persefahaman daripada semua pihak.”

Pada 21 Jan lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata polis masih meneruskan penggunaan Akta Hasutan untuk membuat tangkapan dan pendakwaan kerana undang-undang itu masih berkuat kuasa.

Saifuddin berkata, pihak berkuasa dibenar menggunakan peruntukan akta tersebut untuk melaksanakan tugas, selagi ia belum dipinda atau dimansuhkan Parlimen.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer daripada DAP mempersoalkan mengapa polis masih menahan, menyiasat, dan mendakwa individu di bawah Akta Hasutan sedangkan Pakatan Harapan (PH) sudah berjanji memansuhkan undang-undang yang disifatkan
‘draconian’.

Pada Mac 2024, Saifuddin, yang juga setiausaha agung PH, berkata Kabinet telah bersetuju memulakan proses meminda Akta Hasutan supaya hanya boleh digunakan terhadap mereka yang menghina institusi raja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.