Jamal akan buat laporan polis berkait isu babi

Jamal akan buat laporan polis berkait isu babi

Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Yunos, juga dakwa tindakan Adun Seri Kembangan telah cetus polemik dan mengundang kemarahan.

Jamal Yunos
Jamal Yunos mahu siasatan segera dijalankan terhadap Wong Siew Ki, dan individu terlibat dengan penyebaran gambar penghinaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemimpin Umno Selangor, Jamal Yunos, mengumumkan beliau akan membuat laporan polis terhadap Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki kerana membangkitkan isu penternakan babi.

Ketua Umno Sungai Besar itu mendakwa tindakan wakil rakyat itu telah mencetuskan polemik dan mengundang kemarahan.

Jamal mendakwa kenyataan yang dibangkitkan Wong dilihat membuka ruang kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk bertindak lebih melampau sehingga sanggup menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau juga menarik perhatian kepada hantaran media sosial yang menyunting gambar babi mengenakan pakaian istiadat Istana dan mengaitkannya dengan Sultan Selangor.

“Sehubungan itu, saya mewakili Umno Selangor akan membuat laporan polis agar siasatan segera dijalankan terhadap Wong serta individu-individu yang terlibat dalam penyebaran gambar penghinaan terhadap Sultan Selangor,” menurut kenyataan.

Pada 10 Feb lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tidak berkenan jika ada mana-mana kawasan di negeri itu dijadikan tempat penternakan babi.

Pada 22 Apr lalu, Wong pada sidang DUN mencadangkan kerajaan negeri dan pelabur mempertimbangkan penerokaan sistem penternakan babi yang tertutup dan moden, termasuk konsep ‘zero discharge’ serta teknologi kitar semula biogas kepada elektrik.

Beberapa pihak mengkritik Wong, termasuk Jamal yang pada awal minggu ini menyelar beliau supaya ‘keluar dari Selangor’ jika enggan akur kepada titah Sultan berkait penternakan babi.

Wong kemudian menjelaskan kenyataannya berdasarkan suara sebahagian rakyat di kawasannya, dan beliau bertanggungjawab membawanya ke sidang DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.