
Menurutnya, kerajaan negeri perlu mematuhi keputusan Mesyuarat MTN ke-79 pada 2 Dis 2022 yang menetapkan moratorium bagi kelulusan baharu penubuhan ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia.
“Bagi mematuhi ketetapan MTN ke-79, kami menggesa kerajaan Perak membatalkan dua cadangan projek pembangunan ladang hutan dalam HSK iaitu seluas kira-kira 4,280 hektar dan seluas kira-kira 2,020 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong di Kuala Kangsar,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan Sahabat Alam Malaysia, Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia, Persatuan Penggerak Bumi Hijau Malaysia, Greenpeace Malaysia, Persatuan Aktivis Sahabat Alam, Sahabat Ekologi Perak, Jaringan Menyelamatkan Hutan Kledang Saiong dan Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Rambai Tujuh.
Gabungan itu turut mempertikaikan justifikasi agensi teknikal dan penggerak projek yang mendakwa kawasan terbabit merupakan hutan terosot dan sesuai untuk pembangunan ladang hutan.
Menurut mereka, berdasarkan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), kedua-dua kawasan cadangan projek sebenarnya kaya dengan kepelbagaian biologi.
“Agensi teknikal dan penggerak projek hanya mentakrifkan sesuatu kawasan hutan itu terosot kerana tidak lagi mempunyai dirian pokok komersial sedangkan faktor yang menjadikan hutan terosot adalah berpunca daripada manusia iaitu kelemahan pengurusan hutan.
“Disamping itu, kami menyanggah kenyataan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad bahawa pelaksanaan pembangunan ladang hutan dalam HSK mampu menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
Kumpulan itu turut merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 menerusi Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak kepada Alam Sekitar yang mendapati pelaksanaan pembangunan ladang hutan dalam HSK kurang memuaskan, khususnya dari segi kesan terhadap alam sekitar.
“Oleh itu, kami berharap Kerajaan Negeri Perak akur dan menerima pakai ketetapan MTN ke-79 serta membatalkan dua cadangan projek ladang hutan di HS Kledang Saiong,” katanya.