
Ketua Jalaluddin Alias berkata keputusan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Aminuddin dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya, bukan kerana mahu merampas pentadbiran negeri.
Katanya, BN pada awalnya bersedia menjadi pembangkang sekiranya lima Adun PN memilih untuk menyokong Pakatan Harapan (PH).
“Masa itu kita tidak tahu PN mahu bersama kita. BN ada 14 Adun, PN ada lima Adun, manakala PH ada 17 Adun. Semalam kita tahu PN mahu mengadakan sidang media. Kalau mereka menyebelahi PH, BN akan menjadi pembangkang.
“Tetapi PN memberi sokongan kepada Umno-BN bagi meneruskan kerajaan atas prinsip tidak mahu pentadbiran negeri terganggu. Bila ada tawaran, saya bincangkan. Apa salahnya kita terima?” katanya kepada pemberita di Wisma Umno Negeri Sembilan.
Jalaluddin berkata sokongan lima Adun PN menjadikan gabungan BN-PN blok terbesar dengan 19 Adun, berbanding PH yang kini hanya mempunyai 17 Adun.
Beliau turut menegaskan Umno terbuka menerima sokongan mana-mana pihak, termasuk Adun PH.
“Siapa mahu sokong, takkan saya tidak benarkan. Kalau PH mahu sokong saya sekarang pun, saya okey, saya terima,” katanya.
Mengulas punca BN menarik sokongan, Jalaluddin berkata ia bukan bertujuan merampas kuasa, sebaliknya sebagai bantahan terhadap tindakan Aminuddin yang didakwa mencampuri urusan institusi raja dan adat Negeri Sembilan.
Beliau berkata Umno menyerahkan sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, untuk menyelesaikan kemelut pentadbiran negeri selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Saya bersedia pada bila-bila masa untuk dipanggil menghadap, dan saya juga bersedia menerima sebarang keputusan,” katanya.
Semalam, 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.
Susulan itu, lima Adun PN menyatakan kesediaan bekerjasama dengan 14 Adun Umno bagi membentuk kerajaan negeri baharu demi memastikan kestabilan pentadbiran.