
Kumpulan terdiri daripada Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan; Pertubuhan Sejarah dan Adat Perpatih Kuala Pilah; Pertubuhan Adab dan Budaya Mertang; Persatuan Kebajikan Insan dan Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis berkumpul pada 11.30 pagi tadi.
Presiden Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan, Muhamad Kamel Yassin berkata kesetiaan kepada institusi Yang di-Pertuan Besar adalah perkara utama dan tidak boleh dipertikaikan dalam apa jua keadaan.
“Yang penting Tuanku Muhriz mesti dikekalkan, itu prinsip kami sebagai rakyat Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum yang diterima Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Azizi Mohamad Ali.
Katanya, sebagai rakyat Negeri Sembilan mereka juga boleh bersama-sama dalam menyelesaikan krisis adat dan perlembagaan di negeri itu bagi memastikan kestabilan negeri terus terpelihara.
Kumpulan itu juga berharap kemelut yang berlaku dapat diselesaikan dengan segera tanpa diputarbelitkan demi kepentingan pihak tertentu.
Krisis adat dan perlembagaan di Negeri Sembilan tercetus apabila Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April menerima penamatan Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungai Ujong atas dakwaan pelanggaran adat dan hukum syarak.
Tidak lama selepas itu, Mubarak bersama tiga lagi Undang Luak menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Menteri Besar Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri tidak mengiktiraf pengisytiharan tersebut yang dianggap sebagai tidak sah.