Pusat perlindungan haiwan perlu dana untuk bangkit selepas kebakaran tragis

Pusat perlindungan haiwan perlu dana untuk bangkit selepas kebakaran tragis

Persatuan Bahtera Noah Ipoh turut rancang sediakan penginapan untuk haiwan peliharaan agar mampu tampung perbelanjaan buat jangka panjang.

The blaze destroyed
Kebakaran pada 23 April lepas musnahkan 80% pusat perlindungan haiwan itu, memaksa kumpulan kebajikan haiwan Bahtera Noah, Ipoh, mohon bantuan kewangan untuk bina semula pusat berkenaan.
IPOH:
Sebuah kumpulan kebajikan haiwan memohon sumbangan orang ramai untuk kembali beroperasi selepas satu kebakaran pada 23 April memusnahkan pusat perlindungan mereka dan mengorbankan 20 ekor kucing serta seekor anjing.

Presiden Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Bahtera Noah Ipoh Norfazilatun Zin berkata, mereka memerlukan RM40,000 hingga RM50,000 untuk membina semula pusat perlindungan itu agar ia dapat terus berfungsi sebagai tempat berteduh bagi anjing dan kucing berkeperluan khas.

Untuk jangka masa panjang, terdapat juga perancangan untuk membuka sebuah rumah kucing yang bukan sahaja menempatkan kucing yang diselamatkan, tetapi juga menyediakan kemudahan penginapan untuk haiwan peliharaan.

“Saya mahukan sesuatu yang mampan untuk pengganti saya. Saya mahu Bahtera Noah akhirnya mampu jana pendapatan sendiri,” katanya kepada FMT.

Namun buat masa ini, katanya, keutamaan mereka adalah untuk membina semula pusat perlindungan tersebut.

Sementara itu, 19 ekor anjing berkeperluan khas dan lima ekor kucing yang terselamat daripada bencana tersebut dijaga oleh para sukarelawan di rumah masing-masing.

Norfazilatun Zin
Norfazilatun harap agar pusat perlindungan haiwan dikendalikan Bahtera Noah, Ipoh, mampu jana pendapatan sendiri.

‘Ibarat hilang separuh nyawa’

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, kebakaran tersebut memusnahkan kira-kira 80% daripada struktur berukuran 15m x 15m itu.

Bagi Norfazilatun, 55, yang telah mengabdikan hampir lapan tahun usianya untuk menguruskan pusat perlindungan itu, serta para sukarelawannya, kehilangan nyawa dalam insiden ini amat menyayat hati.

Sebanyak 21 ekor haiwan mati dalam kebakaran tersebut, manakala 15 lagi masih hilang.

Norfazilatun berkata, beberapa ekor haiwan mungkin telah melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran, dan beliau berharap haiwan-haiwan tersebut akan kembali.

Kini, 24 ekor haiwan yang berjaya diselamatkan sedang dirawat akibat melecur.

“Orang mungkin fikir mereka hanya haiwan, tetapi bagi kami, mereka ada nama, justeru sudah seperti anak sendiri,” kata Norfazilatun.

“Saya rasa seperti separuh nyawa saya diragut dalam kebakaran itu. Saya tahu proses pemulihan akan ambil masa, dan saya beri ruang kepada diri saya untuk bersedih.”

Beliau juga berkata, pusat perlindungan tersebut dikecam warganet, yang menuduh mereka mengurung kucing-kucing berkenaan di dalam sangkar, tidak membenarkan haiwan-haiwan itu bebas.

“Hakikatnya, kucing-kucing tersebut sakit serta perlu dikuarantin dan diasingkan daripada kucing yang sihat.

“Orang ramai boleh kata macam-macam, walaupun kami sedang susah,” katanya.

Bagaimanapun, Norfazilatun mengakui sebagai presiden, beliau perlu terus tabah dan memberi tumpuan penuh kepada usaha-usaha pembinaan semula.

Perancangan masa depan

Norfazilatun juga mengambil kesempatan ini untuk menjamin masa depan yang lebih cerah bagi haiwan-haiwan yang diselamatkannya.

“Kami (beliau dan para sukarelawan) ada pertimbang rancangan untuk tubuhkan sebuah rumah kucing bagi menempatkan kucing-kucing yang diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata, rumah kucing itu dijangka mempunyai dua tingkat, dengan tingkat atas berfungsi sebagai pusat perlindungan untuk kucing yang diselamatkan, manakala kemudahan penginapan haiwan peliharaan terletak di tingkat bawah.

Walaupun ditimpa bencana, NGO itu akan meneruskan kempen pengambilan haiwan peliharaan bagi kucing yang telah dirancang pada hujung minggu ini (2 dan 3 Mei) di Petronas Sunway Tambun.

Kempen akan berlangsung dari 10 pagi hingga 5 petang. Norfazilatun turut merayu sokongan dan doa daripada orang ramai.

Bagaimana orang ramai boleh membantu

Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Bahtera Noah Ipoh merupakan NGO yang diuruskan sepenuhnya oleh sukarelawan yang menumpukan pada penyelamatan dan kebajikan haiwan.

Ia merupakan pertubuhan kebajikan anjing dan kucing pertama di Semenanjung Malaysia yang menerima dana daripada Yayasan Hasanah, sebuah yayasan pemerkasaan komuniti dan alam sekitar.

Pusat perlindungan ini kerap mengadakan kempen pengambilan haiwan peliharaan di Lotus Bercham dan Petronas Sunway.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB 8004 8859 41 (Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Bahtera Noah Ipoh), atau dengan menghubungi 012-437 2932.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.