
“Usaha diplomatik mungkin dapat diikhtiarkan supaya bukan sahaja mereka dipermudahkan untuk sampai ke destinasi menghantar bantuan, malah selepas misi selesai mereka dapat dibebaskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Memperkasa Akses Dipercayai Merentasi Ekosistem Digital Malaysia dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) MyDigital ID.
Beliau menambah, hubungan baik Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan negara-negara sahabat juga boleh dimanfaatkan untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan.
Justeru, katanya, seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan kumpulan yang menyertai misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza itu dan berharap mereka diberikan perlindungan sewajarnya.
“Biarpun mereka ditahan, kita tahu ini cabaran yang pasti akan dihadapi dan kita harapkan mereka mempunyai daya tahan serta kecekalan untuk meneruskan niat murni itu hingga sampai ke destinasi,” katanya.
Terdahulu, Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan enam daripada 22 kapal GSF 2.0 yang dipintas dan diceroboh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza, melibatkan 10 rakyat Malaysia.
Ketua Pengarah SNCC Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, rakyat Malaysia yang terlibat termasuk Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III; Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1); serta Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).
Turut terlibat, Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).
Sani Araby berkata, keseluruhan misi melibatkan 63 kapal, namun hanya 22 kapal dipintas, terputus hubungan dan diceroboh secara langsung, membabitkan 186 aktivis.
Menurutnya, kejadian itu berlaku antara 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia ketika kapal GSF 2.0 dihampiri secara agresif oleh kapal tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran Crete, Greece.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan misi kemanusiaan antarabangsa serta nasib sukarelawan yang terlibat.