Demo Hari Pekerja nyatakan pendirian terhadap perkauman, rasuah

Demo Hari Pekerja nyatakan pendirian terhadap perkauman, rasuah

Kira-kira 300 peserta menyertai himpunan bersempena Hari Pekerja 2026 di ibu negara.

Peserta berarak dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka bersempena Hari Pekerja 2026, bagi menyatakan pendirian terhadap perkauman, rasuah, dan peperangan.
KUALA LUMPUR:
Peserta himpunan Hari Pekerja 2026 menyatakan pendirian tegas terhadap perkauman dan rasuah, dengan menyeru kepada kesatuan dan reformasi institusi, antara lain.

Himpunan anjuran Jawatankuasa 1 Mei itu disertai ahli kesatuan pekerja dan aktivis sosial, serta mahasiswa dan parti politik. Organisasi seperti Gerakan Gabungan Anti-Imperialis, Sekretariat Solidarity Palestine, dan Gabungan Petani Marhaen turut mengambil bahagian, selain Parti Sosialis Malaysia, Parti Rakyat Malaysia, dan Muda, serta Mandiri.

“Sebarang konflik kaum hanya akan memecah-belahkan pekerja daripada menumpukan tuntutan lebih penting seperti gaji, subsidi dan kos sara hidup,” kata penyelaras Jawatankuasa 1 Mei, M Nalani, ketika ditemui.

Nalani turut berkata pekerja harus bersama dalam usaha melawan rasuah, dengan menyeru kepada reformasi institusi.

Tegasnya, rasuah yang berleluasa “merosakkan sistem dan menghancurkan harapan pekerja.”

Deklarasi yang dibacakan penganjur turut menyentuh mengenai gaji minimum yang realistik, sistem kontrak, hak pekerja migran dan memastikan penggunaan kecerdasan bautan tidak menjejaskan peluang pekerjaan. Turut disentuh kawalan harga barang dan jaminan makanan, memperkukuh akses kesihatan awam dan memperluas perlindungan sosial.

Hampir 1,000 peserta dengan pelbagai plakad dan sepanduk menyertai himpunan bertemakan “Pekerja Bersatu, Lawan Rasuah, Tolak Perang”, yang turut menyatakan pendirian terhadap peperangan di Iran, Palestin, Yaman dan Ukraine.

Peserta mula berkumpul di perkarangan Masjid Negara di ibu negara sekitar 3 petang, dan kemudian berarak ke Dataran Merdeka. Himpunan berlangsung secara aman dengan kawalan polis, dan bersurai sekitar jam 5 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.