
Beberapa hari lepas, Sekretariat Hari Buruh mengumumkan Sambutan Hari Pekerja 2026 tahun ini mengusung tema ‘Pekerja Bersatu, Lawan Rasuah, Tolak Perang.
Sekali imbas, menghubungkaitkan antara ‘pekerja’, ‘rasuah’ dan ‘perang’ bukanlah sesuatu yang biasa disandingkan sekali. Hakikatnya, rata-rata pekerja di Malaysia tidak
terlibat dengan gejala rasuah (duit dan kuasa tak ada nak disalah guna) dan negara kita juga tidak tersangkut dengan mana-mana perang atau konflik bersenjata.
Jadi mengapa tema itu menghimpunkan ketiga-tiga istilah itu dalam satu baris ayat? Tentu sekali sebab hari ini tumpuan utama dunia adalah pada perang antara AS-Israel dan Iran. Seluruh dunia, tidak kira ceruk mana sekali pun terkesan dengan perang ini.
Pun demikian, sebenarnya kalau dilihat sejarah sambutan Hari Buruh dan tema ‘Menolak Perang’ ini selalu sahaja digandingkan sekali. Sebabnya adalah menyambut hari buruh ini bukan hanya untuk memberi penghargaan kepada golongan pekerja atau memperjuangkan hak-hak pekerja yang belum beres.
Sebaliknya, ia bertaut rapat dengan pembahagian tenaga buruh global (global division of labour) yang menjadi jantung sistem ekonomi antarbangsa hari ini.
Sekali gus, persoalan buruh dan keluh kesah mereka bertaut rapat juga dengan persoalan imperialisme yang bergolak sekarang ini.
Sejarah Hari Buruh adalah sejarah antiperang
Sambutan Mei (atau Sambutan Hari Buruh) ini bermula pada abad ke-19 melalui gerakan buruh di Amerika Syarikat (AS) yang cuba memperjuangkan hak bekerja 8 jam sehari (sebelumnya buruh ditetap bekerja untuk bekerja antara 12 ke 16 jam sehari).
Pada tanggal 1 Mei 1886. Sekitar hampir 500,000 buruh di seluruh Amerika mogok. Malangnya, konflik mula meletus apabila sepasukan polis mula menyerang sekumpulan pekerja yang mogok di Haymarket, Chicago.
Serangan bom berturut-turut dilancarkan, dan pihak polis terus mengasak. Ramai yang menjadi korban, termasuk beberapa pemimpin kesatuan buruh yang digantung mati sebagai hukuman.
Bagi memperingati mereka yang terkorban di Haymarket, Second International (iaitu gabungan parti sosialis dan buruh di peringkat antarabangsa) mengisytiharkan tanggal 1 Mei sebagai Hari Buruh.
Sebenarnya, konteks ‘perang’ juga tidak terpisah daripada sejarah awal Hari Buruh yang kita ceritakan ini. Ledakan gerakan buruh di Amerika adalah natijah daripada Perang Sivil (1961 -1865) di negara tersebut.
Bahkan, kata Karl Marx dalam Das Kapital: “antara hasil yang muncul daripada Perang Sivil ini adalah desakan bekerja 8 jam sehari.”
Agenda ‘Menolak Peperangan’ kemudiannya terus sebati dengan Sambutan Hari Buruh. Apabila Perang Dunia Pertama meletus pada 28 Julai 1914, sambutan 1 Mei tahun berikutnya (1915) di Berlin, diketuai Rosa Luxemburg dan Karl Liebknecht, mengadakan demonstrasi besar-besar dengan tema menolak peperangan.
Cogan kata yang diangkat antaranya: ‘Musuh Sebenar Buruh Adalah Dalam Negara Sendiri’. Di Dublin, pada sambutan Hari Buruh pada tahun 1916, gerakan Buruh di Ireland mengangkat tema ‘Menolak Penjajahan British’ sebagai agenda besar buat pekerja.
Perarakan ‘antiperang’dibuat secara besar-besaran sehinggakan pemimpin mereka, James Connolly, dikenakan hukuman bunuh.
Di Rusia, Bolshevik yang baru sahaja mengambil alih pemerintahan pada tahun 1917, terus mengeluarkan ‘Perintah Keamanan; (November, 1917). Tahun berikutnya, sambutan Hari Buruh (1918) di Petrogad mengangkat slogan-slogan seperti ‘Binasalah Perang Imperialis’ dan ‘Hak Kemerdekaan untuk semua Negara’.
Kesemuannya ini menunjukkan agenda menolak perang dan hak-hak pekerja sentiasa bergerak seiring.
Menolak imperialisme juga tanggungjawab pekerja
Selepas perang dunia kedua berakhir, banyak bekas-bekas tanah jajahan mula memperoleh kemerdekaan. Keahlian Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga bertambah dengan masuknya negara-negara yang baru merdeka.
Persoalan pada waktu itu tidak lagi berkenaan dengan perang secara terus, tetapi secara proksi (Proxy War). Perang Dingin (1947 – 1989) juga adalah persaingan antara dua kuasa besar, dan proses menyebar luas pengaruh imperialisme di negara-negara membangun (Dunia Selatan).
Perang Vietnam (1960an – 1970an) menjadi tumpuan utama gerakan buruh dan aktivis pada waktu tersebut. Hampir semua sambutan Hari Buruh di merata dunia diangkat sebagai protes terhadap Perang Vietnam. Bahkan protes ‘antiperang Vietnam’ menjadi bahagian penting dalam sejarah Amerika itu sendiri.
Hal yang sama juga kita saksikan apabila Perang Iraq (2003) meletus. Apabila AS menyerang Iraq dan cuba menjatuhkan Saddam Hussein dengan alasan melawan ‘Weapons of mass destruction (WMD)’, jutaan pekerja dan orang awam turun ke jalan untuk membantah perang ini (termasuk di Asia Tenggara).
Misalnya, pada sambutan Hari Buruh di Amerika, sejumlah ratusan ribu turun ke jalan di New York, San Francisco, dan London dengan tema ‘Menolak Perang’. Di Istanbul, kesatuan buruh di Turkiye turut merencana perarakan besar-besaran untuk protes perang di Iraq, serta penglibatan pemerintah Turkiye dalam kerjasama senjata dengan AS.
Perang hanya berpihak kepada golongan elit
Hakikatnya, tiada sesiapa yang waras mahu hidup dalam keadaan perang, terutamanya golongan pekerja dan orang kebanyakan. Perang AS dan Israel terhadap Iran hari ini sendiri bukan sahaja mengorbankan banyak nyawa, bahkan mencetuskan krisis makanan, tenaga, dan harga barang.
Siapa yang paling terjejas dalam situasi krisis seperti ini? Sudah tentu golongan kebanyakan yang gajinya cukup-cukup makan atau sedia ada saja. Umumnya, perang antara dua negara atau entiti politik ini dicetuskan oleh segelintir pihak sahaja.
Tetapi kesinambungannya mengheret satu dunia, khususnya golongan rentan, untuk turut serta.
Sejak dari zaman empayar dahulu, golongan biasalah yang diserap masuk sebagai tentera, serta dikerah untuk menyediakan makanan dan senjata. Sepertimana yang disebut oleh ahli falsafah Perancis, Jean-Paul Sartre, “Apabila Sang Kaya yang mencetuskan perang, yang mati adalah Si Miskin.”
Akhirnya, masyarakat kebanyakanlah yang terpaksa menanggung risiko dan natijah peperangan dunia. Walhal, golongan berkuasa terlindung dan terus memaksa masyarakat terlibat dengan persengketaan mereka.
Imran Mohd Rasid ialah pengarah eksekutif Citizens International.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.