SARA ‘penyelamat’ rakyat depani pergolakan ekonomi global

SARA ‘penyelamat’ rakyat depani pergolakan ekonomi global

Penerima SARA dapat menarik nafas lega susulan kemampuan kerajaan menyediakan bantuan berterusan kepada kelompok layak.

mykasih sara
Bantuan SARA secara bulanan yang diteruskan kerajaan memberi kelegaan kepada rakyat dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global susulan pergolakan di Timur Tengah.
PETALING JAYA:
Kesan perang di Timur Tengah telah mencetuskan ketidaktentuan ekonomi global menyebabkan ramai terjejas terutama golongan rentan.

Namun penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) boleh dianggap bertuah kerana masih menikmati bantuan bulanan itu tanpa rasa bimbang.

Ketika banyak negara membuat keputusan sukar termasuk mengurangkan subsidi dan memperketat bantuan sosial susulan tekanan ekonomi, Malaysia sebaliknya masih meneruskan agihan SARA bagi meringankan beban kos sara hidup mereka yang memerlukan.

Pembantu kedai makan, Jam Aina Mat Jelani, 48, menyifatkan bantuan bulanan itu bukan sekadar meringankan beban, tetapi menjadi sumber kelangsungan hidup buat enam anaknya yang masih bersekolah.

Jam Aina Mat Jelani
Jam Aina Mat Jelani.

Jam Aina yang mengekori perkembangan konflik di Asia Barat berkata dia merasa lega kerana kerajaan masih konsisten menjaga kebajikan rakyat melalui bantuan sedia ada.

“Alhamdulillah, bantuan ini saya gunakan sepenuhnya untuk membeli barang keperluan asas rumah seperti beras, minyak, gula dan biskut,” katanya ketika ditemui FMT.

Nada sama dikongsi Wan Azilah Wan Hussin, 36, peniaga kecil dari Manjoi, Perak yang menyatakan bantuan RM200 sebulan dinikmatinya digunakan untuk membeli barangan asas seperti beras dan minyak masak.

Wan Azilah Wan Hussin
Wan Azilah Wan Hussin.

“Sekurang-kurangnya barangan asas sudah ada di tangan. Dulu sebelum ada bantuan ini, memang terasa susah sikit terutama jika perniagaan tidak menentu,” katanya.

Azilah yang kini sarat mengandung bagaimanapun berkata dia tetap bimbang dengan impak konflik global itu dan memilih langkah berjimat-cermat seperti disaran kerajaan.

“Kita sudah belajar daripada pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sekarang tiada lagi istilah boros, paling penting menyediakan keperluan untuk anak-anak,” ujar ibu kepada empat anak itu.

Juruteknik kilang, Muhammad Idham Jamri, 29, berkata sejak menerima bantuan bulanan SARA, dia boleh merancang perbelanjaan hariannya.

Muhammad Idham Jamri
Muhammad Idham Jamri.

“Kalau makan di luar sekarang, RM10 pun tidak cukup untuk sarapan. Dengan membeli barangan sejuk beku menggunakan SARA, beban harian saya jauh berkurangan,” jelasnya.

Impak positif bantuan ini turut dirasai oleh peniaga kedai runcit, Leow Choon Kit, 40, yang premisnya berdaftar di bawah Rakan Niaga SARA, sekali gus memperluas jaringan penyediaan barangan keperluan harian kepada rakyat.

Leow Choon Kit
Leow Choon Kit.

Beliau menganggarkan seramai 50 hingga 60 pelanggan sehari menggunakan bantuan SARA di kedainya, sekaligus merancakkan pusingan modal perniagaan kecil di peringkat akar umbi.

“Bila ada SARA, perniagaan nampak lebih baik. Ia membantu aliran tunai kedai dan memastikan rakyat terus mempunyai kuasa beli walaupun harga barang dunia tidak menentu,” ujar Leow.

Disember tahun lalu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata sebanyak 5.6 juta orang menerima SARA bulanan dicatatkan setakat ini dengan jumlah kelayakan keseluruhan bagi 2025 mencecah RM5 bilion.

Bantuan SARA 2026 mula diagihkan pada 9 Jan lalu kepada lima juta penerima, melibatkan 3.7 juta isi rumah serta 1.3 juta warga emas. Bagi 3.1 juta individu bujang pula, agihan bermula pada 16 Jan.

Bantuan ini dikreditkan terus ke dalam MyKad dan boleh digunakan untuk membeli lebih 100,000 barangan keperluan merangkumi 14 kategori.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.