
Ketuanya Noor Azleen Ambros berkata, pakej itu perlu memberi keutamaan kepada kumpulan sasar dan golongan rentan paling terkesan akibat kenaikan harga bahan api termasuk pengusaha bas sekolah, bas pelancong, bot pelancongan khususnya di Mersing, nelayan kecil serta petani, bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan makanan negeri.
Katanya, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) juga digesa melaksanakan langkah segera seperti pemberian rebat, potongan sewa dan pengurangan cukai premis bagi membantu meringankan beban peniaga kecil dan sederhana yang berdepan peningkatan kos operasi.
“Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) juga disaran menawarkan diskaun sewa kepada penyewa rumah PKPJ sebagai langkah membantu golongan terkesan menghadapi tekanan ekonomi semasa.
“Pemuda Umno Johor mencadangkan golongan bujang bawah 40 tahun dipertimbangkan sebagai penerima Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa ke-4. Ia merangkumi pekerja pos dan pengawal keselamatan pelbagai sektor untuk dimasukkan sebagai penerima bantuan tersebut, selaras peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan.
Ketetapan itu dibuat selepas mesyuarat sayap berkenaan di Johor Bahru, semalam.
Sementara itu, Noor Azleen berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang membawa kembali 6,252 pemimpin pelbagai peringkat ke dalam parti, sekali gus memperkukuh kekuatan organisasi.
Beliau berkata, pihaknya juga mengalu-alukan peningkatan pendaftaran ahli baharu melalui sistem dalam talian yang disifatkan mencerminkan keyakinan generasi muda terhadap perjuangan parti, dengan pertambahan ahli Pemuda mencatatkan peningkatan paling ketara.
“Susulan itu, Pemuda Umno Johor akan menggerakkan kempen besar-besaran bagi menarik lebih ramai anak muda menyertai Umno melalui pendaftaran dalam talian. Setiap bahagian di seluruh negeri diseru menganjurkan majlis khas bagi meraikan kehadiran ahli baharu sebagai usaha memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi,” katanya.