
Penganalisis politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri, mengingatkan bahawa menyertai sesebuah parti merupakan suatu komitmen, justeru Umno harus menunjukkan kesediaan untuk menyelami kemahuan serta harapan golongan tersebut.
“Langkah seterusnya sudah tentu adalah untuk mendengar suara ahli-ahli baharu ini — apa yang mereka mahukan dan apa harapan mereka. Kalau Umno beri ruang, saya percaya mereka akan kekal,” katanya kepada FMT.
Pada Rabu, Umno mengumumkan seramai 8,861 orang memohon menjadi ahli baharu dalam tempoh tiga hari menerusi pendaftaran secara dalam talian, yang mana 60% bersamaan 5,317 menyertai Pemuda dan 8% (576) meneyrtai Puteri.
Presiden Zahid Hamidi berkata beliau amat teruja melihat ramai anak muda membantu mempromosikan laluan pendaftaran itu.
Syaza percaya angka tersebut sebahagian strategi Umno bagi menarik pengundi muda, untuk tampil sebagai parti segar dan berwajah baharu (refreshed and rebranded).
“Biasa yang menyokong Umno ini orang lama kerana nostalgia. Orang muda lain. Mereka harapkan sesuatu yang baharu. Saya rasa ini langkah pertama untuk masa depan Umno,” katanya.
Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata peratusan orang muda yang tinggi di sebalik angka pendaftaran itu merupakan ‘berita baik’ untuk Umno.
“Selama ini orang muda tidak mempunyai kepercayaan kepada Umno,” katanya kepada FMT.
Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa tiada hubung kait antara jumlah ahli dengan sokongan di peti undi.
“Umno mempunyai tiga juta ahli lebih, seharusnya berada di nombor satu dalam sokongan pengundi ketika pilihan raya,” katanya.
Pengumuman Zahid itu tidak lama selepas bekas naib presiden Hishammuddin Hussein, bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, dan bekas ahli majlis kerja tertinggi Syed Hamid Syed Jaafar Albar, kembali bersama Umno.
Selain mereka, Umno turut menerima kembali 6,252 bekas pimpinan dan ahli.