FOI, Ombudsman mampu perkukuh perlindungan pekerja, kata Azalina

FOI, Ombudsman mampu perkukuh perlindungan pekerja, kata Azalina

Menteri undang-undang berkata dua inisiatif itu akan bantu pekerja mendapat akses maklumat berkaitan hak buruh dan sedia saluran aduan bebas.

AZALINA_OTHMAN
Azalina Othman Said berkata kerajaan komited tingkat usaha perlindungan pekerja.
PETALING JAYA:
Akta Kebebasan Maklumat (FOI) dan Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia yang akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat depan dijangka membantu memperkukuh perlindungan pekerja, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said

Azalina berkata langkah itu sebahagian agenda reformasi undang-undang dan institusi kerajaan yang kekal komited memperkukuh kebajikan, perlindungan dan maruah pekerja berteraskan keadilan sosial, perlindungan pekerja serta peluang saksama.

“FOI akan memperkukuh perlindungan kepada pekerja dengan akses kepada maklumat berkaitan hak dan dasar buruh, manakala Ombudsman pula berperanan sebagai saluran aduan bebas terhadap salah laku pentadbiran.

“Ini sekali gus menjamin ruang bersuara dan perlindungan yang lebih berkesan kepada pekerja,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pekerja 2026.

Azalina berkata komitmen kerajaan turut diperkukuh melalui Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia 2025-2030 yang memberi penekanan kepada sektor buruh.

Katanya, pelan itu bertujuan memastikan hak pekerja dilindungi, dihormati dan direalisasikan secara progresif.

Tambah Azalina, ia termasuk melalui pengukuhan akses kepada remedi, perlindungan daripada amalan buruh tidak adil serta galakan amalan perniagaan bertanggungjawab berasaskan prinsip hak asasi manusia.

Beliau berkata, kerajaan juga melaksanakan beberapa langkah lain yang memberi manfaat kepada pekerja, termasuk peluasan akses kepada keadilan melalui Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2026.

Menurutnya, langkah itu merangkumi peningkatan had kelayakan pendapatan bagi mendapatkan bantuan guaman kepada RM50,000.

Selain itu, katanya, kerajaan turut memperkukuh Dasar Peluang Kedua melalui inisiatif Fastrack bagi mempercepat pelepasan status bankrap golongan rentan.

Azalina berkata, khidmat mediasi percuma bagi pertikaian kontrak bernilai RM250,000 ke bawah turut disediakan bagi membolehkan penyelesaian lebih cepat dan kos efektif tanpa melalui mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.