
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata kerajaan dan pembangkang perlu mengelakkan isu itu daripada dijadikan gelanggang persaingan politik tempatan.
Beliau turut memberi amaran kerana tindakan sedemikian akan mengalihkan perhatian daripada realiti geopolitik lebih besar.
“Ini bukan masanya berpolitik secara sempit. Krisis kita hadapi ini datang dari luar dan rakyat Malaysia perlu faham dari mana puncanya,” katanya kepada FMT.
Azmi yang felo Majlis Profesor Negara berkata sebahagian besar ketegangan semasa berpunca daripada tindakan kuasa besar global, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Menurutnya, ia dilihat dalam konteks lebih luas bukan disempitkan kepada perdebatan partisan dalam negara.
Sejak kebelakangan ini, krisis ini turut membawa kepada perselisihan khususnya berkaitan harga bahan api.
Misalnya Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada bulan lalu berkata tiada ‘justifikasi’ untuk kenaikan harga walaupun berdepan gangguan tenaga global, sekali gus menunjukkan bagaimana krisis yang berpunca dari luar menjadi perdebatan hangat di antara ahli-ahli politik.
“Apabila ahli politik dalam negara sibuk menyerang antara satu sama lain, rakyat keliru dan hilang tumpuan terhadap punca sebenar krisis ini dan ,” tambah Azmi.
Beliau berkata walaupun peranan pembangkang untuk menyemak dan mengkritik kerajaan, perlu ada perbezaan antara kritikan membina serta tindakan boleh melemahkan perpaduan negara dalam tempoh ketidaktentuan global.
“Dalam situasi seperti ini, perlu ada kesepakatan asas untuk kita sama-sama keluar daripada kemelut ini. Perpaduan tidak bermaksud sokongan membuta tuli, tetapi memahami bila sesuatu isu melangkaui kepentingan politik,” katanya.
Azmi berkata faktor politik juga memainkan peranan, di mana pihak pembangkang mungkin tidak melihat keuntungan yang jelas untuk mereka jika menyokong usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan.
“Dalam politik, sokongan boleh dilihat sebagai memberi kelebihan kepada pihak satu lagi, jadi ada yang memilih untuk tidak bersama walaupun isu ini melibatkan kepentingan negara,” katanya.
Azmi turut menyatakan sentimen rakyat terhadap isu Iran dilihat lebih berpecah berbanding konflik antarabangsa lain seperti Gaza, yang mungkin menjadi antara faktor mengapa tiada pendirian nasional yang benar-benar padu.
“Persepsi yang berbeza terhadap konflik ini menyukarkan pembentukan pendirian bersama.
“Namun, itu tidak mengubah hakikat ketidakstabilan berpanjangan akan memberi kesan kepada Malaysia, khususnya dari segi keselamatan tenaga dan ekonomi,” katanya sambil memberi amaran perpecahan boleh mengeruhkan keadaan meruncing itu.