Jabatan warisan kaji struktur perahu lama di Kelantan

Jabatan warisan kaji struktur perahu lama di Kelantan

Jabatan itu berkata penemuaan itu satu nilai sejarah besar dalam menggambarkan corak kehidupan masyarakat suatu ketika dahulu.

Jabatan Warisan Negara berkata perahu itu dibina menggunakan teknik pertukangan tradisional seperti tanggam kayu dan pasak. (Gambar JWN)
KOTA BHARU:
Jabatan Warisan Negara (JWN) melaksanakan tinjauan awal penemuan sebuah struktur perahu lama di Kampung Bukit Kechik, Tanah Merah, semalam, bagi mengenal pasti kepentingan dan signifikasi sejarah jumpaan berkenaan.

Dalam kenyataan, jabatan itu memaklumkan berdasarkan ciri-ciri fizikal perahu berkenaan dipercayai dibina menggunakan kayu keras tempatan seperti cengal atau meranti.

“Perahu ini dibina menggunakan teknik pertukangan tradisional seperti tanggam kayu dan pasak.

“Struktur binaan ini secara tidak langsung mencerminkan kepakaran tinggi tukang perahu Melayu zaman dahulu dalam menyesuaikan reka bentuk dengan keadaan sungai yang berubah-ubah,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu memaklumkan, penemuan tersebut bukan sekadar satu artifak fizikal, malah ia membawa nilai sejarah yang besar dalam menggambarkan corak kehidupan masyarakat di Tanah Merah suatu ketika dahulu.

Penduduk Kampung Bukit Kechik di Tanah Merah, Kelantan bersama struktur perahu lama yang dijumpai. (Gambar JWN)

“Masyarakat pada era itu dipercayai bergantung sepenuhnya kepada sungai sebagai laluan utama untuk aktiviti perdagangan, perhubungan, dan urusan kehidupan harian,” kata kenyataan itu.

Susulan penemuan berkenaan, kajian terperinci dan dokumentasi lanjut akan dijalankan bagi memastikan warisan pengangkutan air itu dapat terus dipelihara sebagai sebahagian daripada identiti sejarah negeri Kelantan.

JWN turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada komuniti Kampung Bukit Kechik atas sokongan dan kerjasama padu yang diberikan dalam melaksanakan kerja-kerja menyelamatkan artifak perahu berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya melaporkan sebarang penemuan warisan kebudayaan yang berpotensi kepada jabatan tersebut bagi membolehkan khazanah itu dipelihara demi kelangsungan generasi masa hadapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.