Lelaki ditahan bantu siasatan kalimah Allah dibebas dengan jaminan polis

Lelaki ditahan bantu siasatan kalimah Allah dibebas dengan jaminan polis

Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Yusop berkata siasatan masih diteruskan.

Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop
Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Yusop berkata tindakan akan diambil terhadap individu melakukan perbuatan boleh menggugat ketenteraman awam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Warga emas yang ditahan semalam bagi membantu siasatan isu kalimah Allah pada dinding sebuah pondok penyembahan di belakang kedai perkakasannya di Seriab, Kangar telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Yusop, berkata siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri bagi tindakan lanjut.

“Pihak polis memandang serius sebarang perbuatan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu terlibat,” katanya menurut Bernama.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan insiden itu, yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam serta sentiasa menghormati sensitiviti agama dan tidak melakukan sebarang perbuatan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum serta agama.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki berusia 61 tahun ditahan untuk siasatan berhubung perbuatan melukakan perasaan agama seseorang dan tingkah laku menghina.

Penahanan itu susulan laporan polis dibuat Ketua Pemuda Umno Kangar, Saiful Fariddil Jasmi. Beliau turut memuat naik klip video, di mana beliau dilihat menegur seorang lelaki.

Insiden itu menyusul kira-kira sebulan selepas kalimah Allah dan satu lagi istilah Islam ditulis pada dinding sebuah pondok penyembahan di Jasin, Melaka.

Pondok penyembahan itu kemudian dirobohkan susulan persetujuan pemilik tanah dan pihak berkuasa. Barang suci dari pondok terbabit dipindahkan ke lokasi lain selepas upacara keagamaan selesai dijalankan pemilik tanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.