Premis kitar semula disyaki punca bau Sungai Semenyih

Premis kitar semula disyaki punca bau Sungai Semenyih

Exco Jamaliah Jamaluddin berkata Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesan bau abnormal sehingga dua ton pada 10.30 malam, 3 Mei lalu.

Unit Skuad Elit Air Luas
Unit Skuad Elit Air Luas mengambil sampel daripada premis yang menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih. (Gambar Luas)
PETALING JAYA:
Sebuah premis kitar semula di Kawasan Perindustrian Mahkota Beranang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih, yang berisiko menjejaskan operasi LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, berkata Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesan bau abnormal sehingga dua ton pada 10.30 malam, 3 Mei lalu, sebelum mengaktifkan kod kuning untuk siasatan dan mitigasi segera.

Katanya, siasatan LUAS bersama Air Selangor menemukan pelepasan berwarna dari premis itu yang disyaki mengalir ke sistem perparitan sebelum memasuki Sungai Kabul dan seterusnya Sungai Semenyih.

“Premis berkenaan mempunyai Lesen Air Kembalian di bawah Zero Discharge Policy, namun tidak patuh kepada syarat lesen,” katanya dalam kenyataan.

Jamaliah Jamaluddin
Jamaliah Jamaluddin.

Jamaliah berkata LUAS mengarahkan premis terbabit menghentikan pelepasan serta-merta dan menjalankan kerja pembersihan, selain meletakkan kira-kira 100kg karbon teraktif bagi tujuan nyahbau.

Beliau berkata pengepaman air dari Kolam B dan C di bawah SJAM turut diaktifkan bagi menyalurkan sehingga 770 juta liter sehari ke LRA Sungai Semenyih bagi memastikan tiada gangguan bekalan air mentah.

Katanya, sampel sudah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia, manakala kertas siasatan dibuka bawah Enakmen LUAS 1999 bagi kesalahan mencemarkan sumber air dan tidak mematuhi syarat lesen.

Setakat 8 malam semalam, tiada lagi bau abnormal dikesan di Sungai Semenyih dan Sungai Kabul, manakala LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi seperti biasa.

Jamaliah berkata pemantauan rapi diteruskan dan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap pihak yang sengaja atau cuai mencemarkan sumber air.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.