
Beliau yang juga exco Selangor adalah cucu kepada Shamsiah Fakeh anggota Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM).
Jamaliah menyifatkan tindakan itu dianggap tidak berasas memandangkan naskhah berkenaan telah berada di pasaran sejak tahun 2004 tanpa mencetuskan sebarang gerakan ekstrem.
“Memoir Shamsiah Fakeh telah diterbitkan sejak lebih dua dekad lalu dan diulang cetak beberapa kali.
“Kandungannya lebih bersifat penceritaan perjalanan hidup dan pengalaman hidup beliau,” katanya di Facebook.
Jamaliah turut memberi amaran bahawa tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu berpotensi menyempitkan ruang wacana dan budaya ilmu di negara ini.
“Malah, ia secara tidak langsung boleh membuka ruang kepada pembentukan sentimen yang lebih ekstrem. Saya menggesa KDN menilai semula keputusan ini dan menarik balik perintah larangan tersebut,” katanya.
Selain buku membabitkan Shamsiah, tindakan penguatkuasaan turut dikenakan terhadap karya Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah.
KDN menjelaskan ada kecenderungan bahan berunsur ideologi komunisme mula beredar secara lebih terbuka di pasaran, sekali gus mendorong tindakan penguatkuasaan terhadap dua penerbitan itu di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Kementerian itu turut menjelaskan tindakan penguatkuasaan tidak tertakluk kepada tempoh sesuatu bahan diterbitkan, sebaliknya berdasarkan penilaian semasa terhadap kandungan serta implikasinya.