2 syarat baharu import EV CBU berkuat kuasa Julai

2 syarat baharu import EV CBU berkuat kuasa Julai

Nilai minimum CIF ditetapkan pada RM200,000 manakala ambang kuasa motor diturunkan daripada 200kW kepada 180kW.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata dua syarat baharu bagi import kenderaan elektrik CBU diperkenalkan susulan tamatnya pengecualian khas selama empat tahun pada 31 Dis tahun lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengesahkan dua syarat baharu bagi import kenderaan elektrik siap bina sepenuhnya atau CBU, susulan tamatnya pengecualian khas selama empat tahun pada 31 Dis 2025.

Kementerian itu berkata, mulai 1 Julai depan, semua kenderaan elektrik CBU yang diimport perlu mempunyai nilai minimum kos, insurans dan tambang (CIF) sebanyak RM200,000.

Syarat kedua pula ialah ambang minimum kuasa motor diturunkan daripada 200kW sebelum ini kepada 180kW dan ke atas, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Katanya, dasar bagi import kenderaan elektrik CBU kini kembali tertakluk kepada peraturan sedia ada selepas tempoh pengecualian berakhir.

Bagaimanapun, syarikat yang masih mempunyai baki stok, termasuk kenderaan yang sudah berada dalam inventori, di pelabuhan atau sedang dalam perjalanan, masih dibenarkan menjualnya mengikut syarat pengecualian lama sehingga stok berkenaan habis.

Kementerian berkata, pemegang AP francais telah dimaklumkan mengenai pelarasan itu dalam satu sesi libat urus pada 30 April.

“Miti kekal komited untuk memastikan persekitaran dasar yang telus, konsisten dan seimbang dalam menyokong pembangunan industri automotif, selain melindungi kepentingan ekonomi negara dan hak pengguna kenderaan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan paultan.org yang mendakwa syarat berkenaan akan menyebabkan banyak EV kelas pertengahan tersingkir daripada pasaran, sekali gus meninggalkan pilihan yang lebih tertumpu kepada model premium.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.