
Sharifah Munirah Alatas berkata cendekiawan yang membiarkan diri diperalatkan oleh ahli politik akan memudaratkan kemajuan negara.
“Malaysia amat memerlukan lebih ramai cendekiawan dan pemimpin universiti yang bukan menjadi alat permainan ahli politik.
“Sesebuah negara yang pendidiknya membiarkan diri dipergunakan untuk agenda politik ditakdirkan untuk mundur,” katanya di Facebook.
Munirah mengulas ucapan bekas gabenor Bank Negara, Muhammad Ibrahim, sempena Kongres Pendidikan Bumiputera pada 1 Mei.
Muhammad mengulas tinjauan Merdeka Center pada 2024 yang mendapati sebahagian besar rakyat menganggap dasar pendidikan terlalu dipolitikkan.
Muhammad menegaskan keputusan mengenai kurikulum, bahasa, dan piawaian perlu berpandukan bukti, pedagogi, serta kepentingan nasional, bukannya pertimbangan politik jangka pendek.
Munirah bersetuju dengan Muhammad, dan menggesa pelantikan ke pengurusan tertinggi universiti awam tidak dilakukan secara lantikan politik, termasuk naib canselor yang mungkin tidak sesuai dari segi akademik walaupun memiliki ijazah doktor falsafah, tidak kompeten, malah korup.
Beliau juga berpandangan terdapat keperluan memansuhkan undang-undang yang “menyekat dan menghina” seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti serta Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj).
“Autonomi dan kebebasan bukanlah konsep yang remeh. Ia menentukan sama ada kita mampu melahirkan pemikir kritis atau sekadar robot yang tumpul, kurang imaginasi, dan hambar.”
Munirah turut mengkritik ahli akademik yang bodoh dan sombong yang menurutnya menjaja karut-marut di peringkat nasional dan global, selain menghasilkan ‘penyelidikan’ yang memecahbelahkan, serta menghina pihak lain.
“Itu bukan tujuan sebenar kesarjanaan,” katanya.
“Cendekiawan sepatutnya memperbaiki kehidupan, bukannya memusnahkan.”