
Mohd Alif Jasni dari Universiti Utara Malaysia berkata hukuman penjara semata-mata tidak memadai sekiranya pesalah tidak melalui proses intervensi tingkah laku, pengurusan kemarahan dan kaunseling intensif secara tersusun.
“Pesalah berulang perlu diwajibkan mengikuti program intervensi tingkah laku seperti pengurusan kemarahan, kaunseling intensif dan dipantau selepas dibebaskan.
“Tanpa pemulihan, risiko pengulangan kekal tinggi,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian mengulas usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapatkan senarai pesalah keganasan rumah tangga daripada kementerian serta agensi berkaitan.
Langkah itu susulan kes tular seorang wanita cedera dipercayai dipukul suaminya sehingga kandungannya gugur, selain mengalami kecederaan pada tangan dan lebam di muka.
Suspek juga didakwa melarikan barang kemas serta wang simpanan mangsa berjumlah hampir RM50,000.
Polis kemudian mengesahkan suspek ialah lelaki sama yang terbabit dalam kes memukul isterinya sehingga koma di Larkin, Johor, empat tahun lalu.
Alif berkata undang-undang juga perlu diperketat dengan membezakan secara jelas antara pesalah kali pertama dan pesalah berulang.
Katanya, bagi kes berulang, hukuman penjara lebih panjang tanpa pilihan denda ringan atau jaminan mudah boleh menjadi langkah pencegahan lebih berkesan.
Sementara itu, pakar kriminologi Shahul Hamid Abdul Rahim berkata bagi kesalahan berulang, pihak pendakwaan perlu memainkan peranan lebih agresif dengan memohon hukuman lebih tegas di mahkamah.
Katanya, walaupun undang-undang sedia ada mencukupi, pendekatan pendakwaan yang tegas penting bagi memastikan hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku.
“Bagi mengurangkan dan mencegah pelaku kesalahan seperti ini, mahkamah dan undang-undang perlu lihat balik berkaitan kecederaan dalam rumah tangga.
“Pihak pendakwa raya perlu memohon hukuman lebih tegas terhadap pelaku kerana apabila kesalahan berulang maknanya dia tak serik,” katanya.
Shahul turut menegaskan kepentingan mangsa membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan dan kes dibawa ke mahkamah.
Katanya, masih ramai mangsa tidak membuat laporan kerana malu atau tertekan, menyebabkan pelaku terus bebas dan berisiko mengulangi perbuatan sama.
“Tanpa laporan, siasatan tidak dapat dijalankan dan kes tidak boleh dibawa ke mahkamah,” katanya.