8 budak maut ditembak dalam keganasan rumah tangga di AS

8 budak maut ditembak dalam keganasan rumah tangga di AS

Mangsa korban berusia satu hingga 14 tahun.

Polis menutup jalan ke lokasi kejadian lapan kanak-kanak maut ditembak di Shreveport, Louisiana. (Gambar Reuters)
LOUISIANA:
Lapan kanak-kanak maut ditembak di negeri Louisiana, selatan Amerika Syarikat (AS) pada awal pagi Ahad, dalam kejadian yang disifatkan polis sebagai keganasan rumah tangga.

Kejadian yang berlaku sejurus selepas 6 pagi (1100 GMT) di bandar Shreveport itu merupakan kes tembakan beramai-ramai paling dahsyat di AS dalam lebih dua tahun ini, menurut data Arkib Keganasan Senjata.

Menurut pegawai, suspek merupakan seorang lelaki dewasa yang melarikan diri dengan kereta, sebelum maut akibat tembakan ketika dikejar polis.

Datuk Bandar Shreveport, Tom Arceneaux memberitahu CNN, tidak jelas sama ada suspek mati akibat tembakan dilepaskan dirinya atau daripada polis.

Polis negeri berkata, tiada pegawai cedera dalam kejadian itu.

Koperal Polis, Chris Bordelon, berkata mangsa korban berusia satu hingga 14 tahun.

“Beberapa kanak-kanak terbabit mempunyai pertalian keluarga dengan suspek.

“Kami percaya lelaki itu satu-satunya individu yang melepaskan tembakan,” katanya dalam sidang media sambil menyifatkan kejadian itu “keganasan rumah tangga”.

Beliau berkata, lokasi kejadian agak luas merangkumi tiga kediaman, yang sedang diperiksa penyiasat untuk mencari bukti.

Arceneaux berkata, suspek mempunyai kaitan dengan dua wanita, yang kini dalam keadaan sangat kritikal akibat ditembak.

Secara keseluruhan, beliau berkata, terdapat sembilan kanak-kanak di kediaman kedua yang dikunjungi penembak terbabit. Seorang terselamat dan kini di hospital dengan kecederaan tidak mengancam nyawa.

Polis berkata, butiran lanjut mangsa dan suspek akan didedahkan sementara menunggu waris terdekat dimaklumkan.

Keganasan senjata api kerap berlaku di AS, dengan ribuan nyawa melayang setiap tahun. Ia mencatatkan kadar kematian berkaitan senjata api tertinggi berbanding semua negara maju.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.