Lelaki mengaku tak salah curi coli, pakaian hampir RM500

Lelaki mengaku tak salah curi coli, pakaian hampir RM500

Tertuduh didakwa mencuri sembilan barangan, termasuk baju-T lelaki, pakaian wanita, coli, seluar pendek dan gaun dengan nilai keseluruhan RM491.

Mahkamah Majistret Ayer Keroh
Mahkamah Majistret Ayer Keroh membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas pertuduhan mencuri pakaian dan coli dari sebuah butik di sebuah pusat beli-belah minggu lalu.

Berita Harian melaporkan Muhammad Aidil Mustaqim Zulkifeli, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Uthman Abd Ghani.

Dia didakwa mencuri sembilan barangan, termasuk beberapa helai baju-T lelaki, pakaian wanita, coli, seluar pendek dan gaun dengan nilai keseluruhan RM491, dari sebuah butik pakaian di pusat beli-belah Aeon pada 7.50 malam Ahad lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin menawarkan jaminan RM7,000, tetapi peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhamad Mawardi Zainudin memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

Katanya, tertuduh bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan dan perlu menanggung ibunya yang menghidap barah otak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.