Projek transit Johor: Perubahan ART ke rel cetus persoalan

Projek transit Johor: Perubahan ART ke rel cetus persoalan

Perunding pengangkutan kata kerajaan mesti jelaskan mengapa projek yang ditenderkan sebagai sistem ART bertingkat kini digambarkan sebagai sistem rel.

tambak johor causeway
Laporan dakwa kos pembangunan bagi cadangan projek rel yang bersambung dengan RTS Johor-Singapura dijangka cecah sekitar RM7 bilion. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persoalan baharu timbul mengenai cadangan sistem transit baharu bagi Iskandar Malaysia di Johor selepas Ancom Nylex Berhad menyifatkan projek tersebut sebagai “sistem rel” dalam makluman kepada Bursa Malaysia, semalam.

Perunding pengangkutan, Rosli Khan, berkata projek itu nampaknya menyimpang daripada keterangan asal kerajaan iaitu “projek transit aliran autonomi bertingkat (E-ART)”.

Beliau berkata keterangan asal terkandung dalam permintaan untuk cadangan (RFP) yang dikeluarkan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) di Jabatan Perdana Menteri, bertarikh 12 Mac tahun lepas.

Rosli berkata istilah adalah penting kerana undangan asal secara jelas meminta sistem E-ART automatik sepenuhnya yang beroperasi menggunakan tayar getah.

“Itu tidak sama dengan sistem berasaskan rel,” katanya kepada FMT.

Rosli berkata Ukas bertanggungjawab menjelaskan mengapa ia mengubah pendirian dan menerima sistem berasaskan rel sebagai ganti.

“Bilakah perkara itu berlaku, dan mengapa?” soal beliau.

Pada Februari tahun lepas, sebulan sebelum RFP tersebut, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dilaporkan berkata E-ART adalah pilihan utama kerajaan bagi batuan terakhir ketersambungan RTS.

Menurut laporan itu, Loke menyifatkan sistem tersebut sebagai penyelesaian yang fleksibel dan kos efektif yang boleh beroperasi di atas laluan bukan khas, membolehkan perkongsian lorong dengan bas.

Bernama juga memetik menteri sebagai berkata Ukas akan mengeluarkan RFP untuk sistem ART bertingkat.

Rosli berkata ketakpadanan tersebut menimbulkan persoalan mengenai keadilan proses tender.

Beliau mempersoalkan apa yang berlaku pada pembida yang mengemukakan tawaran berdasarkan sistem E-ART seperti yang dikehendaki Ukas, dan sama ada mereka kecundang walaupun mematuhi keperluan asal tender.

Rosli berkata Ukas juga perlu menjelaskan sama ada ia telah berunding dengan kerajaan Johor atau Perbadanan Pengangkutan Awam Johor mengenai sebarang perubahan.

“Isu ini tidak boleh diketepikan.

“Sekurang-kurangnya, UKAS perlu telus mengenai percanggahan ini dan menjelaskan sama ada projek tersebut kekal sebagai sistem ART bertingkat yang menggunakan tayar getah, atau sistem yang sama sekali berbeza dan menggunakan rel.”

Sistem yang dicadangkan itu bertujuan untuk memberi perkhidmatan bagi tiga koridor utama, dengan 32 stesen yang bersambung dengan Bukit Chagar, iaitu hab pertukaran utama bagi Laluan RTS Johor Bahru-Singapura.

Menurut laporan The Edge, kos pembangunan bagi cadangan projek rel tersebut dijangka mencecah sekitar RM7 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.