Anwar kecam Norway tarik balik lesen eksport sistem peluru berpandu

Anwar kecam Norway tarik balik lesen eksport sistem peluru berpandu

Perdana menteri berkata kontrak yang ditandatangani adalah instrumen serius yang tidak boleh diperlakukan dengan sewenang-wenangnya.

anwar ibrahim kakitangan
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia telah memenuhi setiap kewajipan di bawah kontrak tersebut dengan penuh setia sejak 2018.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengecam keputusan Norway menarik balik lesen eksport bagi sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) serta sistem pelancar berkaitannya, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak boleh diterima.

Dalam satu kenyataan tegas di X, Anwar berkata Malaysia telah memenuhi setiap kewajipan di bawah kontrak tersebut dengan setia sejak 2018.

“Namun, Norway nampaknya tidak merasakan perlu untuk memberikan layanan dan menunjukkan niat baik yang sama kepada kita,” katanya.

Beliau menambah bahawa kontrak yang ditandatangani adalah instrumen serius yang tidak boleh diperlakukan dengan sewenang-wenangnya.

“Jika pembekal pertahanan Eropah berhak memungkiri perjanjian tanpa sebarang akibat, maka nilai mereka sebagai rakan strategik hilang sama sekali,” katanya.

Anwar turut berkata beliau telah menjelaskan secara terus kepada rakan sejawatnya dari Norway, Jonas Gahr Store, bahawa keputusan menarik balik lesen itu akan membawa kesan serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia serta program pemodenan kapal tempur pesisir (LCS).

“Ia pasti akan membawa implikasi yang lebih luas terhadap keseimbangan serantau,” katanya.

BERITA LANJUT MENYUSUL

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.