Bahagian hidupan liar lebih RM5 juta dirampas di kedai antik

Bahagian hidupan liar lebih RM5 juta dirampas di kedai antik

Pemilik kedai antik berusia 53 tahun turut ditahan dalam serbuan 9.45 pagi Rabu.

polis sabah rampas bahagian hidupan liar kedai antik
Antara barang yang dirampas di sebuah kedai antik di Jalan Gaya, Kota Kinabalu, semalam. (Gambar PDRM)
KUALA LUMPUR:
Polis merampas pelbagai bahagian hidupan liar dilindungi bernilai lebih RM5.3 juta di sebuah premis antik di Jalan Gaya, Kota Kinabalu, semalam.

Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Zaki Ashar, berkata suspek berusia 53 tahun yang juga pemilik premis itu ditahan dalam serbuan 9.45 pagi Rabu.

Jelasnya, hasil pemeriksaan menemui 16 batang gigi taring disyaki spesies babi hutan, sembilan batang gigi disyaki spesies harimau, 10 batang gigi disyaki spesies beruang, 13 biji batu landak, 394 keping sarang burung disyaki spesies burung walet seberat 2,243g.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit mengaku membeli sarang burung walet dan batu landak daripada pembekal di Lintas, Sabah tanpa lesen atau permit sah.

“Bahagian hidupan liar dilindungi itu pula dipercayai diperoleh daripada penduduk kampung di Tawau pada harga rendah, sebelum dijual untuk pasaran tempatan sekitar Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, semua barangan itu disimpan tanpa permit daripada pihak berkuasa dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM5.32 juta.

Suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu, sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.