
Chow berkata peranan InvestPenang tidak bertindih dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) memandangkan agensi negeri membantu menyelaraskan urusan dengan pihak berkuasa negeri dan tempatan bagi memastikan pelabur mendapat sokongan yang diperlukan untuk melaksanakan projek.
Tambahnya, sebaik sahaja pelabur memutuskan untuk datang ke Malaysia, negeri-negeri masih perlu bersaing untuk mendapatkan projek tersebut.
“Awak ingat Mida mahu jaga Pulau Pinang?” soalnya, semasa ucapan penggulungan di sidang DUN.
“Tiap-tiap negeri pun ada badan seperti InvestPenang, InvestKL, InvestKedah, InvestPahang, InvestPerak. Masing-masing perlu rebut peluang berkenaan.”
Ketua menteri menarik perhatian DUN kepada pelaburan asing dan domestik sebanyak RM287.5 bilion di Pulau Pinang sejak 2010, sekali gus mewujudkan lebih 249,000 peluang pekerjaan.
Pelaburan pembuatan yang diluluskan dari 2018 hingga 2025 adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding tempoh sebelumnya, tambah beliau.
Beliau menjawab kritikan terhadap InvestPenang, termasuk isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) serta cadangan Ong Ah Teong (PH-Batu Lancang) agar agensi itu dibubarkan.
LKAN melaporkan kelemahan dalam pemantauan dan kawalan dalaman InvestPenang, serta kenaikan gaji dan pembayaran bonus kepada CEO yang dibuat tanpa kelulusan lembaga pengarah.
Chow berkata kerajaan negeri memandang serius penemuan LKAN dan telah melaksanakan penambahbaikan, termasuk mewujudkan piagam lembaga, pelaporan piawaian untuk misi pelaburan luar negara, dan tatacara dalaman yang lebih baik.
Beliau menambah peruntukan RM18.5 juta bagi InvestPenang adalah untuk tempoh empat tahun, manakala perbelanjaan sebanyak RM500,000 untuk 16 misi luar negara adalah antara isu yang sedang ditangani kerajaan negeri selepas LKAN melaporkan tentang laporan misi yang tidak lengkap.
“(Bagi lawatan ini) kita memang bawa muatan ringan, menginap sesingkat mungkin, habis kerja dan seterusnya balik,” tegas beliau.