
Ahli ekonomi kanan berkaitan kewangan, daya saing, dan pelaburan, Mariana Vijil, berkata ketidakcekapan dalam persekitaran perniagaan berkurangan berbanding tahun-tahun sebelum ini, dan secara amnya selaras tahap pembangunan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau berkata tanda-tanda persaingan yang lemah masih dikesan dalam beberapa sektor di sebalik penambahbaikan secara keseluruhan.
“Kira-kira separuh daripada perniagaan dalam pembuatan makanan dan 1/3 dalam perkhidmatan runcit melaporkan kemampuan untuk menaikkan harga tanpa kehilangan pelanggan,” katanya semasa pelancaran laporan World Bank’s 32nd Malaysia Economic Monitor.
Beliau menjelaskan perkara ini memberi kesan ke atas kos sara hidup dan menekankan keperluan memperkukuh persaingan pasaran ketika Malaysia melangkah ke arah negara berpendapatan tinggi.
Vijil menyatakan pengurangan ketidakcekapan dalam persekitaran perniagaan mampu meningkatkan KDNK sekurang-kurangnya lima mata peratusan.
Menurutnya lagi, kesendatan kawal selia memperlahankan pengembangan perniagaan dan keputusan pelaburan, di mana kelewatan dalam kelulusan serta pelaksanaan peraturan yang tidak konsisten menjejaskan firma-firma di beberapa negeri.
Sebagai contoh, kelulusan pembinaan di sesetengah negeri boleh memakan masa lebih daripada dua tahun akibat keperluan yang bertindih dan penyelarasan yang lemah antara agensi.
Vijil berkata kelewatan ini didorong oleh ketidakkonsistenan antara pihak berkuasa persekutuan, negeri, dan tempatan, serta ketidakcekapan dalam perkhidmatan kerajaan dengan perniagaan (G2B).
Menurut beliau, mengurangkan kesulitan dalam bidang-bidang ini penting bagi menyokong pertumbuhan perniagaan yang lebih pantas dan produktiviti yang lebih tinggi.
Hijrah insan berbakat
Vijil turut menyatakan bahawa Malaysia sedang menghadapi cabaran struktur yang lebih luas berkaitan dengan inovasi dan mengekalkan insan berbakat.
Beliau berkata penjanaan teknologi dan pengkomersialan tidak menunjukkan penambahbaikan yang ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, manakala permohonan paten semakin merosot dan pembentukan syarikat rintisan lemah.
Katanya, terdapat tanda-tanda bahawa pereka cipta diambil bekerja oleh firma asing yang menawarkan peluang pekerjaan yang lebih bermutu.
Menurutnya lagi, bilangan syarikat pemula di Malaysia agak rendah berbanding negara-negara dengan ekonomi setara, walaupun Malaysia mempunyai insan berbakat yang ramai.
Beliau menegaskan usaha menangani isu-isu ini memerlukan reformasi untuk memperkukuh dasar persaingan, menambah baik proses kawal selia, serta menyokong pembangunan inovasi dan kemahiran.