Siasatan SPRM ke atas pengerusi IJM kini NFA

Siasatan SPRM ke atas pengerusi IJM kini NFA

IJM kata SPRM mengesahkan tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung siasatan berkenaan tawaran pengambilalihan Sunway Bhd.

WISMA IJM BUILDING
IJM menjadi perhatian selepas SPRM mengunjungi pejabatnya dan membeku akaun bagi membantu siasatan.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dikatakan telah menutup siasatan ke atas pengerusi bukan eksekutif IJM Corporation Bhd, Krishnan Tan, menurut beliau.

Tan dalam kenyataan berkata, SPRM mengesahkan bahawa siasatan telah selesai dan dikelaskan sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ atau NFA.

Krishnan Tan
Krishnan Tan.

Tan menyambut baik keputusan itu, menekankan bahawa beliau konsisten mengaku tidak bersalah sepanjang tempoh siasatan.

“Siasatan dan publisiti berhubung perkara itu telah menyebabkan kerosakan reputasi yang teruk kepada saya dan memusnahkan apa yang telah menjadi khidmat awam dan korporat sepanjang hayat saya, selain memberikan tekanan yang amat besar ke atas keluarga, rakan-rakan, dan organisasi di mana saya berkhidmat.

“Saya berterima kasih kepada mereka semua, terutama isteri, keluarga dan rakan-rakan karib kerana teguh menyokong saya. Saya kini mahu meninggalkan tempoh sukar ini dan mara,” kata Tan.

Dalam kenyataan berasingan, IJM menyatakan SPRM mengesahkan tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung siasatan berkenaan tawaran pengambilalihan Sunway Bhd.

“IJM menyambut baik penyelesaian perkara ini. Syarikat memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang proses tersebut dan komited untuk menyokong pihak berkuasa seperti yang diperlukan.”

Syarikat itu juga mengulangi bahawa SPRM sebelum ini mengesahkan siasatan tersebut tidak melibatkan IJM sebagai sebuah entiti.

“Dengan selesainya perkara ini, IJM mara dengan iltizam, dengan fokus pada melaksanakan keutamaan strategik dan memaksimumkan nilai portfolio merentasi perniagaan teras,” tambahnya.

Pada 6 Feb, SPRM menahan Tan dalam siasatan ke atas dakwaan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan dan pemilikan aset luar negara yang melibatkan anggaran nilai RM2.5 bilion.

Menurut ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Azam Baki, Pejabat Penipuan Serius (SFO) United Kingdom juga sedang menyiasat.

SPRM mengunjungi pelbagai lokasi dalam siasatannya, termasuk rumah Tan dan pejabat IJM, serta membekukan akaun bank yang melibatkan kira-kira RM15.8 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.