
“Kami telah kenal pasti individu terbabit. Ada yang berada di dalam negara, manakala yang lain di luar negara,” kata Khalid pada sidang media hari ini.
Beliau tidak menolak kemungkinan memohon bantuan Interpol untuk mengesan individu terbabit.
“Tetapi apabila libatkan negara luar, perlu ada kerjasama antara kerajaan serta agensi,” tambahnya.
Beliau sebelum ini memaklumkan, ahli perniagaan Victor Chin, yang menjadi tumpuan utama kontroversi itu, berada di luar negara.
Hujung bulan lepas, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak berkuasa mengetahui di mana Chin berada, namun enggan mengulas lanjut.
Dakwaan mengenai pakatan sulit membabitkan PRM mula didedahkan dalam satu laporan Bloomberg pada akhir Februari, mencetuskan gesaan agar suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan.
Laporan itu mendakwa, satu rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM menggunakan serbuan dan siasatan bagi memberi tekanan kepada para eksekutif agar menjual saham dalam syarikat sasaran, lantas memaksa berlakunya pengambilalihan.
Justeru, Jemaah Menteri mengarahkan polis, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menyiasat dakwaan itu secara menyeluruh tanpa mengehadkan skop siasatan kepada individu yang sedang dalam pemerhatian.
Khalid berkata, setakat ini, tiada sesiapa daripada SPRM dipanggil untuk disoal.
“Kita akan teruskan siasatan seperti yang diarahkan, ada beberapa (individu) yang akan kita panggil,” katanya.