Pelaburan palsu punca utama kerugian ‘scam’ lonjak RM2.77 bilion

Pelaburan palsu punca utama kerugian ‘scam’ lonjak RM2.77 bilion

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pendekatan berbeza digunakan mengikut kumpulan sasar bagi memastikan penyampaian mesej kesedaran digital berkesan.

Scammer-Hacker
Kes penipuan dalam talian merekodkan kerugian berjumlah RM1.28 bilion pada 2023, meningkat kepada RM1.57 bilion pada 2024 dan RM2.77 bilion tahun lalu.
KULAI:
Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mempergiatkan Kempen Internet Selamat di semua peringkat komuniti susulan peningkatan drastik kes penipuan dalam talian yang merekodkan kerugian berjumlah RM2.77 bilion pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata berbanding RM1.28 bilion pada 2023 dan RM1.57 bilion pada 2024, angka kerugian itu menunjukkan trend peningkatan membimbangkan, dengan penipuan pelaburan tidak wujud penyumbang terbesar.

“Pada awalnya, mangsa akan lihat pulangan dalam akaun. Contohnya, jika melabur RM1,000 menjadi RM3,000, menyebabkan mereka menambah lebih banyak wang sehingga habis simpanan mereka,” katanya selepas menghadiri Program Santuni Komuniti bersama platform e-dagang, Shopee di Felda Bukit Permai, di sini.

Mengulas Kempen Internet Selamat, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, kementerian menggunakan pendekatan berbeza mengikut kumpulan sasar bagi memastikan penyampaian mesej kesedaran digital berkesan dengan menumpukan buli siber di peringkat sekolah rendah.

Bagi peringkat komuniti seperti Felda, kampung dan taman perumahan, ia menumpukan isu scam dan untuk penuntut institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah pul,a mereka didedahkan kepada bahaya penipuan pekerjaan serta risiko akaun keldai.

Setakat 30 April lalu, kempen itu dilaksanakan di 10,134 sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan, institut pendidikan guru dan IPT membabitkan hampir 900,000 peserta.

Dalam program hari ini, 200 penduduk Felda Bukit Permai menerima sumbangan set barangan keperluan harian hasil kerjasama strategik dengan Shopee, selain penyediaan kaunter saringan kesihatan dan Kempen Internet Selamat oleh petugas Pusat Sebaran Maklumat Nasional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.