
Beliau berkata, penggunaan teknologi dalam sistem pertahanan masa kini, termasuk komputer, dron dan peranti kawalan jauh, memerlukan pendekatan lebih fleksibel terhadap syarat tertentu seperti penggunaan cermin mata.
“Kalau setakat cermin mata, saya rasa ia boleh dilaksanakan kerana sistem pertahanan sekarang banyak menggunakan komputer, dron dan peranti kawalan jauh.
“Tetapi aspek fizikal lain perlu dipertimbangkan semula. Bila bercakap mengenai angkatan tentera, ia mesti mempamerkan imej anggota yang segak dan melambangkan kemegahan organisasi,” katanya kepada FMT.
Shahruddin mengulas kenyataan Panglima Tentera Darat Azhan Md Othman pada 18 Mei lalu yang pasukan itu melonggarkan beberapa syarat pengambilan anggota baharu, termasuk membenarkan penggunaan cermin mata dan menaikkan had umur kemasukan kepada 30 tahun berbanding 27 sebelum ini.
Turut diubah syarat ketinggian minimum kepada 157cm berbanding 162cm sebelum ini, manakala syarat indeks jisim tubuh (BMI) ditetapkan antara 18 hingga 27.9 bergantung kepada cabang perkhidmatan dan jenis pengambilan.
Mengulas lanjut, Shahruddin berkata sebahagian syarat lama tidak lagi sepenuhnya sesuai kerana generasi muda kini banyak menggunakan teknologi digital dalam pembelajaran dan pekerjaan harian.
“Kebanyakan anak muda sekarang menggunakan komputer dan skrin digital, jadi penggunaan cermin mata itu sesuatu yang normal,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata kelonggaran dari segi ketinggian perlu diberi perhatian supaya tidak menjejaskan imej seorang anggota tentera.
“Kalau terlalu pendek sehingga tidak menunjukkan sosok seorang tentera, itu perlu dipertimbangkan semula,” katanya.
Shahruddin turut menyifatkan had umur pengambilan sehingga 30 tahun sebagai munasabah, memandangkan ramai calon kini memiliki kelulusan diploma dan ijazah dalam bidang teknikal.