Pengarah syarikat mengaku tak salah pecah amanah RM1.46 juta

Pengarah syarikat mengaku tak salah pecah amanah RM1.46 juta

Pengarah Steam Era Sdn Bhd Yong Pitt Lok didakwa memindahkan dana syarikat ke akaun bank peribadinya untuk kepentingan sendiri.

Company director to be charged over RM1.4m CBT
Hakim membenarkan Pengarah Steam Era Sdn Bhd Yong Pitt Lok diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.
KUALA LUMPUR:
Seorang pengusaha rangkaian makanan dan minuman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah hampir RM1.5 juta.

Pengarah Steam Era Sdn Bhd, Yong Pitt Lok, 48, didakwa memindahkan dana syarikat berjumlah RM1,468,958.29 ke akaun bank peribadinya untuk kepentingan sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bandar Baru Sri Petaling antara 11 Mac dan 24 Okt 2024.

Yong didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zul Hilmi Latif memohon ikat jamin RM120,000, tetapi peguam Lee Keng Fatt merayu jaminan RM50,000 atas alasan Yong mempunyai tiga anak berumur 16 hingga 21 tahun yang masih belajar, manakala isterinya suri rumah dan perlu menanggung ibu mertuanya berusia 71 tahun yang menerima rawatan hipertensi.

Lee berkata, anak guamnya telah memberi kerjasama penuh kepada penyiasat dan tidak berisiko melarikan diri.

“Tertuduh telah memberi keterangan sebanyak tiga kali dan tidak pernah direman. Dia secara sukarela ke ibu IPD Brickfields, sebelum dibawa ke mahkamah selepas dimaklumkan pada Isnin bahawa dia akan didakwa.”

Lee turut meminta mahkamah tidak menyita pasport Yong untuk urusan perniagaan di luar negara.

Hakim Azrul Darus membenarkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Jun untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.