Bekas timbalan menteri puji Amirudin berani tegur ‘selective loyalty’

Bekas timbalan menteri puji Amirudin berani tegur ‘selective loyalty’

Ti Lian Ker berkata Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin sanggup mempertahankan prinsip mereka.

ti lian ker
Bekas timbalan menteri perpaduan negara Ti Lian Ker berkata perjuangan sebenar ialah siapa paling amanah menjaga negara dan kebajikan rakyat.  (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang bekas timbalan menteri perpaduan negara memuji tindakan berani dan jarang berlaku yang ditunjukkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dengan menggesa semua pihak menghentikan amalan ‘selective loyalty’ kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ti Lian Ker berkata, dalam landskap politik tempatan yang semakin dipenuhi retorik melampau, Amirudin memilih untuk “bercakap berdasarkan prinsip, bukannya atas kehendak pasaran politik semasa”.

“Sama ada seseorang bersetuju atau tidak dengan politik beliau, keberanian untuk berkata benar demi kestabilan negara dan keharmonian rakyat harus dihormati.

“Negara memerlukan lebih ramai pemimpin yang berani mempertahankan prinsip walaupun ia tidak popular, bukannya pemimpin sekadar mengikut permintaan politik semasa,” katanya dalam catatan Facebook.

Semalam, Amirudin dilaporkan berkata, semua pihak termasuk pembangkang perlu menghentikan amalan ‘selective loyalty’ yang konon mempertahankan raja, agama dan bangsa hanya jika menguntungkan kedudukan politik mereka, namun mengabaikan prinsip sama jika tidak memihak kepentingan sendiri.

Katanya, mereka juga dilihat membisu atas faktor politik apabila terdapat pihak luar yang menghina serta mencela kewibawaan institusi diraja Selangor.

Amirudin dipercayai merujuk Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Sanusi Nor, yang didakwa pada 2023 atas tuduhan menghasut berkaitan Sultan Sharafuddin dan Yang di-Pertuan Agong.

Menteri besar Kedah itu pada mulanya didakwa atas dua pertuduhan hasutan, tetapi dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membabitkan Sultan Selangor selepas memohon maaf.

Selasa lalu, Sultan Sharafuddin menyarankan Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas exco Selangor, Ronnie Liu ke Dataran Selangor sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi memahami serta menghayati prinsip Rukun Negara dan menghormati kedaulatan institusi diraja, susulan reaksi mereka terhadap titah Sultan Selangor supaya penternakan babi di negeri itu dihentikan sepenuhnya.

Bekas Ahli Parlimen Damansara daripada DAP, Tony Pua pula dilaporkan berkata, kuasa raja terhad kepada aspek ditakrifkan secara jelas seperti adat resam Melayu, agama Islam dan peranan Perlembagaan, yang menyebabkannya dikecam pemimpin Umno dan PAS, selain disiasat polis.

Ti memberi amaran supaya tidak menjadikan bangsa, agama atau institusi sebagai alasan untuk merampas, mengeksploitasi atau menghalalkan budaya ‘rent-seeking’ demi kepentingan golongan elit atau kelompok tertentu.

“Perjuangan sebenar bukan tentang siapa paling lantang meniup sentimen, tetapi siapa paling amanah menjaga negara dan kebajikan rakyat.

“Malah, budaya mengambil kesempatan atas nama perjuangan juga bertentangan dengan tuntutan agama yang menekankan keadilan, integriti dan amanah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.