
Video di kongsi di media sosial memaparkan kumpulan berkenaan menanti Sultan Selangor di depan pintu utama masjid seusai solat Jumaat, sambil memegang plakad ‘Daulat Tuanku’.
Laungan kedengaran apabila Sultan Selangor melangkah keluar dari masjid untuk ke kereta yang menanti. Baginda melambaikan tangan kepada kumpulan berkenaan.
“Seusai solat Jumaat. Tanda rakyat Selangor bersama Sultan Selangor,” kata Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar di Facebook beliau, mengulas himpunan sama.
Pada Selasa, Sultan Sharafuddin menyarankan Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki, dan bekas exco, Ronnie Liu, supaya memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara “supaya menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan”.
Titah itu menyusuli kontroversi berhubung reaksi Wong dan Liu terhadap titah Sultan Selangor supaya penternakan babi di negeri itu dihentikan sepenuhnya.
Wong menerima kecaman selepas mencadangkan penternakan babi dijalankan secara moden menggunakan sistem tertutup.
Liu pula menggesa penternak babi yang tidak berpuas hati supaya mempertimbangkan untuk memfailkan semakan kehakiman berhubung perkara tersebut.