
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Fadillah Yusof, berkata RM150 juta diperuntukkan bagi inisiatif rebat solar SuRIA Home.
Di bawah program itu, katanya, pengguna domestik yang memasang sistem Program Peralihan Tenaga Solar yang Diperkukuhkan (Solar ATAP) dan memenuhi kriteria kelayakan boleh menerima rebat sebanyak RM600 bagi setiap 1kWac pemasangan solar sehingga maksimum RM3,000 bersamaan 5kWac.
“Program ini dijangka memanfaatkan 45,000 hingga 50,000 rumah dengan kapasiti solar terkumpul kira-kira 250MW, sekali gus memperluas penggunaan solar bumbung kediaman di seluruh negara,” katanya pada pelancaran SuRIA Home sempena perhimpunan bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air di sini.
Fadillah berkata, program SuRIA Home dibuka kepada pepasangan solar di bawah program Solar ATAP yang mula beroperasi hingga 31 Dis 2026 atau sehingga kuota 250MW dipenuhi, mana terdahulu.
“Pelaksanaan rebat pula akan bermula 1 Jun ini dan tertakluk kepada prinsip ‘first come, first served’.”
Jelasnya, hanya rakyat Malaysia yang juga pengguna individu domestik voltan rendah (LV) dan berjaya memulakan operasi sistem Solar ATAP dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) layak menerima rebat itu bagi memastikan ia dinikmati secara adil serta telus.
Menurutnya, tuntutan rebat itu dihadkan sekali sahaja bagi setiap individu yang memenuhi syarat kelayakan.
Mana-mana pihak, termasuk penyedia solar yang didapati menyalahgunakan sistem permohonan disediakan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia dan TNB boleh disenarai hitam daripada menyertai program insentif pada masa depan.