Lebih 50% kemalangan pergi, balik kerja sepanjang tahun lalu, kata Perkeso

Lebih 50% kemalangan pergi, balik kerja sepanjang tahun lalu, kata Perkeso

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata lebanyakan mereka yang terkorban adalah tulang belakang keluarga.

Mohammed Azman Aziz Mohammed
Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata sebanyak 50.9% atau 46,542 daripada 91,456 kes kemalangan yang direkodkan tahun lalu membabitkan kemalangan perjalanan pergi dan balik kerja.
SEPANG:
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendedahkan 50.9% atau 46,542 daripada 91,456 kes kemalangan yang direkodkan pada 2025 ialah kemalangan perjalanan pergi dan balik kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata statistik itu turut menunjukkan berlakunya trend membimbangkan khususnya dalam kalangan penunggang motosikal.

“Kebanyakan mereka yang terkorban ini merupakan tulang belakang keluarga.

“Justeru, situasi membimbangkan ini menuntut tindakan melangkaui sekadar pendekatan reaktif kerana penyaluran faedah Perkeso, bukan penyelesaian tunggal dalam masalah ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Penunggang Malaysia (MyRider) ,di sini, hari ini.

Beliau berkata Perkeso dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia melancarkan MyRider bagi memperkukuh usaha pencegahan kemalangan jalan raya terutama melibatkan penunggang motosikal.

Katanya, kempen itu turut melibatkan pelbagai agensi dan rakan industri termasuk Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali gus mencerminkan komitmen bersama ke arah memperkukuh keselamatan penunggang motosikal di Malaysia.

“Menerusi Kempen MyRider, saya ingin sampaikan mesej mudah tetapi besar maknanya iaitu kita perlu bersama-sama membudayakan Penunggang Malaysia yang lebih bertanggungjawab, lebih berhemah dan lebih menghargai nyawa, selaras slogan Penunggang Malaysia: Selamat. Berhemah. Bermaruah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman Mohd Rozi Jidin berkata polis memberikan sokongan penuh dalam menjayakan Kempen MyRider.

“Semoga kerjasama erat antara Perkeso, polis, agensi kerajaan dan rakan strategik industri menjadi pemangkin keberkesanan usaha dalam meningkatkan keselamatan penunggang motosikal di Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.