
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Bhd Afzanizam Rashid, berkata Indeks Harga Pengeluar (PPI) meningkat 4.1% pada Mac, iaitu kenaikan tertinggi sejak siri data baharu diperkenalkan pada 2015.
Menurutnya, peningkatan itu menunjukkan kos ditanggung pengeluar semakin meningkat dan kesannya mungkin mula dirasai pengguna dalam tempoh dua hingga empat bulan akan datang terutama jika konflik geopolitik dan gangguan bekalan global berlarutan.
“Pengeluar dan peniaga kebiasaannya akan memindahkan peningkatan kos kepada pelanggan.

“Berdasarkan tinjauan Bank Negara Malaysia (BNM), lebih satu pertiga firma yang dibanci merancang memindahkan peningkatan kos kepada pelanggan,” katanya kepada FMT.
Pada 21 Mei lalu, Menteri Ekonomi Akmal Nasir berkata tekanan ekonomi mungkin lebih besar pada suku ketiga meskipun ekonomi negara dijangka kekal berdaya tahan pada suku kedua.
Menurutnya, cabaran ekonomi semasa lebih getir berbanding ketika pandemik Covid-19 kerana ia bermula dengan tekanan bekalan minyak sebelum merebak ke sektor lain dan menjejaskan ekonomi secara menyeluruh.

Sementara itu, Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata gangguan bekalan global dan kenaikan harga tenaga turut berpotensi meningkatkan tekanan kos kepada ekonomi negara.
“Sebarang gangguan bekalan atau kenaikan harga tenaga boleh memberi kesan rantaian kepada ekonomi, termasuk kos makanan dan pengeluaran harian.
“Keadaan ini boleh memberi tekanan lebih meluas kepada ekonomi jika berlarutan,” katanya.