
Baginda bertitah khazanah alam itu amat bernilai dan perlu dijaga demi manfaat generasi kini dan akan datang.
“Beta berharap segala usaha pemuliharaan dan pembangunan lestari yang dilaksanakan mampu membawa manfaat berpanjangan kepada rakyat serta mengangkat Perlis sebagai destinasi eko-pelancongan bertaraf dunia,” titah baginda.
Teks titah Raja Perlis itu dibacakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang mewakili baginda pada Majlis Pelancaran Penerbitan dan Dokumentari “NAKAWAN – The Living Soul of Perlis / Nadi Bumi Perlis”.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Pengerusi Eksekutif MY-US Group, Nellsen Young; ketua projek penerbitan dan dokumentari khas itu, Peter Ong; serta Pengarah Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia, Baizuri Baharum.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah usaha dokumentasi seperti itu penting bagi memastikan warisan ilmu, kisah dan nilai Banjaran Nakawan terus direkodkan serta diwariskan kepada generasi masa hadapan.
Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap penerbitan buku dan dokumentari berkenaan kerana ia bukan sahaja memperlihatkan keindahan alam Perlis, malah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai nilai sebenar Banjaran Nakawan.
Majlis itu dianjurkan Smart Leisure Travels dengan kerjasama pelbagai rakan strategik termasuk The Habitat Foundation, Sustainable Tourism Network, Perlis Nature Xplorer dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.
“NAKAWAN – The Living Soul of Perlis / Nadi Bumi Perlis” ialah projek dokumentari alam semula jadi dan budaya yang mengetengahkan kepentingan Banjaran Nakawan sebagai nadi ekosistem serta warisan sosiobudaya negeri.
Dokumentari terbitan Roots & Shoots Malaysia itu menelusuri perjalanan sepanjang 36km banjaran batu kapur tertua di Malaysia, bermula dari Wang Kelian hingga ke Kuala Perlis.
Ia turut memaparkan kehidupan masyarakat setempat, tradisi warisan dan keunikan landskap semula jadi di sekitar Banjaran Nakawan.
Raja Perlis turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan projek berkenaan, khususnya Peter Ong, Syamil Abd Rahman, Myles Storey, Adam Hogg, Jennifer P Linggi, serta pemimpin komuniti tempatan yang memainkan peranan penting dalam usaha dokumentasi itu.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada organisasi yang menyokong projek itu, termasuk Roots & Shoots Malaysia, The Habitat Foundation, Sustainable Tourism Network of Malaysia, Kementerian Kewangan, Yayasan Hasanah, Manulife Malaysia dan Canon Malaysia.
Pujian turut diberikan kepada pihak di Perlis, termasuk Perlis Nature Explorers, komuniti Kaki Bukit, Kuala Perlis dan Timah Tasoh, serta Jabatan Perhutanan Negeri Perlis atas komitmen memelihara khazanah alam dan warisan negeri.