Hasrat jadikan Perlis ‘Dubai Kedua’ bukan sasar bina pencakar langit, kata MB

Hasrat jadikan Perlis ‘Dubai Kedua’ bukan sasar bina pencakar langit, kata MB

Abu Bakar Hamzah berkata titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail baru-baru ini merujuk inisiatif penjenamaan jadikan Perlis hab pemasaran antarabangsa.

abu bakar hamzah
Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail baru-baru ini telah disalah tafsir untuk kepentingan politik. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mengenai gelaran ‘Dubai Kedua’ baru-baru ini bukan bermaksud negeri itu mahu dibangunkan dengan deretan bangunan pencakar langit, kata Menteri Bersa Perlis Abu Bakar Hamzah.

Beliau berkata ia merujuk kepada inisiatif penjenamaan dan pemasaran yang disasarkan untuk menjadikan Perlis sebagai pusat perdagangan serta hab pemasaran antarabangsa.

“Banyak pihak salah faham dan mempolitikkan isu ini kononnya Perlis diiktiraf macam Dubai dari segi pembangunan bangunan mencakar langit, ia bukan begitu.

“Maksud Tuanku adalah kaedah pemasaran di mana kita ambil barang daripada tempat lain, kita gunakan dan pasarkan. Konsep perdagangan seperti di Dubai ini yang kita cuba terapkan.

“Contohnya seperti penganjuran program pemasaran antarabangsa oleh Angkasa baru-baru ini,” katanya, menurut Berita Harian.

Tuanku Syed Sirajuddin sebelum ini menzahirkan keyakinan bahawa Perlis mampu muncul sebagai ‘Dubai Kedua’ iaitu pintu gerbang terbuka kepada negara Asean berikutan kedudukannya yang strategik bersempadan Thailand.

Baginda bertitah, negeri itu mampu berkembang sebagai pusat dagang, inovasi dan pusat pertemuan ekonomi serantau dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.