Kerajaan akan umum langkah tangani hilang pekerjaan, kata Anwar

Kerajaan akan umum langkah tangani hilang pekerjaan, kata Anwar

Perdana menteri berkata langkah yang akan diumumkan dalam satu atau dua minggu lagi, adalah termasuk sedia peluang pekerjaan alternatif.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap di majlis agihan perdana lembu korban di Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengumumkan langkah bagi menangani isu lebih 7,000 pekerja hilang pekerjan direkodkan pada April lalu.

Beliau berkata langkah itu yang akan diumumkan dalam tempoh satu atau dua minggu akan datang, adalah termasuk menyediakan peluang pekerjaan alternatif.

“Kita dah bawa ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan dalam tempoh seminggu dua saya ambil langkah-langkah memperbaiki dan menyediakan pekerjaan alternatif,” katanya kepada pemberita pada majlis agihan lembu korban di Penanti.

Semalam, Menteri Ekonomi Akmal Nasir berkata Malaysia merekodkan 7,057 kehilangan pekerjaan pada April, meningkat 21% berbanding 5,855 pada Mac.

Anwar turut berkata mereka yang baru kehilangan pekerjaan boleh mencari peluang baharu di Perak, Penang, Kulim Hi-Tech Park di Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak yang baru-baru ini menerima pelaburan baharu.

Beliau berkata kerajaan sedang berusaha membantu mereka yang baharu kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang IT dan berkaitan kecerdasan buatan (AI), serta akan menyediakan latihan kepada mereka.

Apabila ditanya adakah jumlah kehilangan pekerjaan itu mencapai kategori membimbangkan, perdana menteri berkata setakat ini ia belum merisaukan.

“Bagaimanapun, setiap kehilangan pekerjaan bagi seseorang dalam keluarga sudah tentu merunsingkan. Jadi kita cuba menanganinya dengan sebaik mungkin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.