
Hakim Noor Ruwena Nurdin dalam penghakimannya berkata, Hamid mengemukakan merit mencukupi untuk mewajarkan pemindahan itu.
“Mahkamah mendapati ada merit dalam persoalan undang-undang sukar dan luar biasa yang dibangkitkan pemohon. Hanya atas alasan ini permohonan dibenarkan.”
Beliau berkata, terlalu awal untuk mengklasifikasikan perkara itu pendakwaan berganda memandangkan Hamid dan syarikatnya didakwa di bawah peruntukan berbeza Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), walaupun pertuduhan itu berdasarkan fakta sama.
Kedua-dua kes itu akan didengar di depan Noor Ruwena.
Hamid pada asalnya didakwa di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin, pada 5 April 2023.
Dia didakwa menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada Tan Ser Lay bagi manfaat bekas menteri komunikasi dan multimedia Annuar Musa, untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan serta pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur.
Pada hari sama, Hydroshoppe didakwa di Mahkamah Sesyen secara berasingan atas kesalahan sama, dengan Hamid mengaku tidak bersalah bagi pihak syarikat itu atas kapasiti pengarah.
Hamid didakwa mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM, manakala pendakwaan terhadap Hydroshoppe dilakukan di bawah Seksyen 17A(1)(a) akta sama.
Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM memperuntukkan kesalahan bagi pemberian atau tawaran suapan, manakala Seksyen 17A(1)(a) pula berhubung liabiliti korporat terhadap syarikat apabila perbuatan rasuah dilakukan “seseorang yang bersekutu” dengan syarikat.
Peguam Joshua Tay dan Tang Jia Yern mewakili Hamid, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin.