

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata kebimbangan itu semakin jelas apabila parti yang mempunyai hubungan atau kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) melalui IPR mula bersuara secara terbuka.
Katanya, parti seperti Parti Kemajuan Malaysia (MAP) mahu melihat pembangkang menewaskan Pakatan Harapan (PH), namun sedar matlamat itu sukar dicapai tanpa sokongan PAS.
“Semua parti ini perlu bersatu, termasuk PAS dan Bersatu sendiri. Jika PN berpecah, keadaan akan menjadi lebih sukar untuk mereka bekerjasama, termasuk dalam kerangka IPR.
“Jika konflik PAS-Bersatu gagal diselesaikan, kemungkinan besar sukar untuk mereka duduk semeja. Ia juga boleh memberi tekanan kepada parti lain untuk memilih rakan,” katanya kepada FMT.
Syaza berkata, perpecahan dalam blok pembangkang akhirnya berpotensi memberi kelebihan kepada PH dan Umno.
Beliau mengulas kenyataan Presiden MAP P Waytha Moorthy yang baru-baru ini merayu semua pihak dalam PN, khususnya kepimpinan PAS, supaya terus mengutamakan kesatuan dan kepentingan rakyat.
Kenyataan itu menyusul amaran Presiden PAS Hadi Awang kepada Bersatu bahawa kesabaran parti itu ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan didakwa melanggar semangat setia kawan dalam PN, termasuk berhubung kemelut di Negeri Sembilan dan Perlis.

Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata seruan Waytha kepada PAS menunjukkan parti kecil dalam lingkungan IPR semakin meletakkan harapan kepada PAS walaupun gabungan longgar itu diketuai Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, polemik antara PAS dan Bersatu bukan lagi sekadar pertelingkahan dalaman dua parti utama PN, tetapi mula menimbulkan kebimbangan dalam kalangan parti pembangkang lain.
“Ini mempamerkan kepercayaan kumpulan di luar PN bahawa masa depan pembangkang adalah dengan PAS, bukannya Bersatu.
“Bukan saja MAP, malah parti di luar PN seperti Berjasa, Putra, Pejuang dan parti kecil lain dilihat menaruh harapan kepada PAS,” katanya.
MAP antara 11 parti di bawah IPR yang digerakkan Oktober tahun lalu. Gabungan itu dijangka mengadakan Konvensyen Rakyat pada 27 Jun depan.