Situasi Jaslinda masuk fasa kritikal lepas hilang 72 jam

Situasi Jaslinda masuk fasa kritikal lepas hilang 72 jam

Operasi kesan Jaslinda Saludin dipergiat dengan penambahan anggota selain ke kawasan mangsa mungkin mencari sumber makanan dan air.

Pengarah Bomba Perak Sayani Saidon (kanan) bernama pic 28526
Pengarah Bomba Perak Sayani Saidon (kanan), berkata keadaan muka bumi curam dan berbukit menjadi cabaran utama selain perjalanan ke beberapa lokasi pencarian memakan masa antara tujuh hingga lapan jam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kehilangan pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, ketika mendaki mendaki Gunung Batu Putih, Tapah, sejak 23 Mei dijangka memasuki fasa kritikal selepas tempoh kehilangan melebihi 72 jam.

Pengarah Bomba Perak Sayani Saidon, berkata ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dipergiat termasuk menambah keanggotaan dan memperluas pencarian ke kawasan kemungkinan mangsa mencari sumber makanan dan air.

Justeru, SAR akan memberi tumpuan sekitar jajaran Sungai Ayer Busok, dipercayai menjadi laluan mangsa mendapatkan sumber air.

“Kita boleh katakan pada ketika ini adalah ‘tempoh kritikal’, namun dengan pengalaman yang ada pada mangsa, dia akan terus bertahan sementara SAR dijalankan.

“Kita percaya dia akan cuba mencari sumber atau punca air untuk terus bertahan, dan berkemungkinan besar bergerak ke Sungai Ayer Busok iaitu lokasi berdekatan dengan Gunung Batu Putih,” katanya menurut Bernama.

Sayani berkata, 36 anggota digerakkan bomba dan polis di kawasan Kem Sukaneka dan Gunung Rayu, yang turut dibantu Pasukan Gerak Am, Jabatan Perhutanan, dan Malim Gunung Perhutanan (MGP).

Beliau berkata, bomba telah membuka satu ‘winching point’ di Kem Salai Matahari yang dianggarkan berkeluasan 100 kaki persegi telah diusahakan bagi memudahkan tindakan lanjut, sekiranya pergerakan menggunakan pesawat udara diperlukan.

Sayani berkata, keadaan muka bumi yang curam dan berbukit di lokasi berkenaan menjadi cabaran utama pasukan penyelamat selain perjalanan ke beberapa lokasi pencarian memakan masa antara tujuh hingga lapan jam.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Tapah, Mohd Fadzil Ismail, berkata keterangan tujuh individu, termasuk suami mangsa sudah diambil bagi membantu SAR.

Katanya, enam lagi yang dipanggil memberi keterangan ialah MGP yang menyertai operasi berkenaan.

“Kami ambil keterangan bagi mengetahui dan memudahkan urusan pencarian dilakukan. Kami akan bertukar maklumat dengan bomba dan hasilnya setakat ini positif,” katanya.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada, 24 Mei (7.30 pagi).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.