
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata mayat remaja itu ditemui di luar laluan mendaki oleh anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 11.59 pagi tadi.
“Mangsa ditemui kira-kira 500m dari lokasi terakhir dia dilihat dan 1km dari pos kawalan tempat kejadian (PKTK).
“Pasukan SAR mengambil masa 20 minit membawa mayat ke PKTK menggunakan pengusung,” katanya kepada Bernama di PKTK di sini.
Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
Terdahulu, SAR yang memasuki hari keempat dimulakan 8 pagi tadi membabitkan pelbagai agensi keselamatan selepas ditangguhkan pada 6.30 petang semalam.
Nur Izzati Humaira, 19, dipercayai tersesat pada 10.50 pagi Sabtu lalu, ketika menuruni bukit bersama keluarganya selepas mengambil keputusan berjalan sendirian supaya sampai lebih awal kerana panas dan penat.