
Beliau berkata sebagai sebuah negara berkecuali, Malaysia membuat perolehan peralatan ketenteraan daripada pelbagai negara, asalkan terma dan syarat yang ditetapkan adalah berasaskan kepercayaan.
“Apabila kami melakukan perolehan, kami melihat kepada negara yang benar-benar boleh memindahkan teknologi mereka kepada kami, negara yang bukan sahaja mahu menjadikan kami sebagai pelanggan, tetapi melihat kami sebagai rakan kongsi.
“Rakan kongsi dalam erti kata mereka bersedia untuk menyokong dasar kami, dan antara dasar baharu kami adalah untuk mampu berdikari bagi menyokong industri pertahanan tempatan,” katanya kepada Bernama di luar Dialog Shangri-La (SLD) ke-23 pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia menerima manfaat daripada pemindahan teknologi daripada negara rakan seperti Turkiye, Korea Selatan, dan beberapa negara lain yang mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang kuat di rantau ini, termasuk Australia.
Pada hari kedua SLD yang berlangsung di Shangri-La Singapura, Khaled mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Singapura, Republik Czech, Itali, Perancis, New Zealand dan Thailand.
Khaled dijadualkan bertemu rakan sejawat dari Norway, Tore O Sandvik, dalam pertemuan dua hala pada Ahad, yang beliau akan menyampaikan kekecewaan Malaysia berhubung pembatalan lesen eksport bagi sistem peluru berpandu negara berkenaan yang ditujukan untuk Malaysia.
“Saya akan menyatakan rasa tidak senang dan kecewa kami terhadap negara seperti Norway yang bertindak sedemikian,” katanya.
Sementara itu, mengulas seruan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, agar negara sekutu meningkatkan perbelanjaan pertahanan berbanding bergantung kepada AS, Khaled berkata Malaysia akan terus merangka dasar pertahanan mengikut keutamaan dan acuan sendiri.
“Kami mengambil maklum tentang dasar dan pandangan AS, ia adalah permintaan yang adil. Saya percaya setiap negara mempunyai hak mutlak untuk menyatakan dasar serta pandangan mereka.
“Sebagai sebuah negara, kita mesti berupaya melindungi dan mempertahankan diri kita sendiri berbanding bergantung atau menyerahkan kepada negara lain untuk mempertahankan serta membantu kita,” katanya.
Menteri itu menegaskan Malaysia akan meneliti perbelanjaan pertahanannya melalui tumpuan tersendiri, memandangkan belanjawan negara perlu diperuntukkan kepada pelbagai sektor lain bagi memastikan pembangunan yang mampan.